Tuesday, February 14, 2012

Anuar Digugur Daripada Senarai Lebuh Raya Atas Masalah Disiplin?

Hasrat pelumba lebuh raya, Anuar Manan untuk menghadiahkan pingat emas buat negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 tidak kesampaian apabila digugurkan pada saat akhir sekali gus mengulangi episod yang hampir sama seperti edisi tahun lepas.

Bezanya kali ini Anuar digugurkan atas masalah disiplin tidak mengikuti kem latihan pusat tatkala tahun lepas dia menarik diri daripada menyertai kejohanan ini di Korat kerana memberi alasan bahawa dalam persediaan ke perlumbaan Jelajah Malaysia dan masalah kesihatan.

Menurut pelumba kelahiran Kuala Ibai itu, dia sangat kecewa kerana pulang ke Malaysia untuk menyertai ACC 2012 tetapi lain pula yang jadi sedangkan dalam masa yang sama dia sudah mempersiapkan diri untuk perlumbaan lebuh raya pada Sabtu ini.

“Ketika berada pada prestasi terbaik sekarang ini saya digugurkan pula, tahun lepas saya hampir digantung mewakili negara kerana menarik diri menyertai ACC kerana demam, saya tidak boleh terus mengejut menyertai latihan tersebut, saya tetap berkayuh mengekalkan kecergasan saya di Kuala Lumpur,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.

Anuar yang merupakan pelumba Asia pertama bergelar Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 menjelaskan, dia tidak menjalani latihan bersama-sama pelumba negara lain kerana menjalani program yang berbeza selepas latihan keras selama sebulan di China bersama pasukan profesional benua, Champion System.

“Saya tidak boleh terus memaksa diri saya seperti itu sahaja, saya tahu bila badan saya akan memuncak, memang kecewa pada saat akhir jadi seperti ini, saya bukan mesin. Alasan saya tidak pernah menang perlumbaan sehari tidak boleh diterima.

“Sudah pasti saya mempunyai sebab mengapa tidak berlatih bersama dan saya sudah menerangkan kepada jurulatih, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan tentang program saya dan dia kata dia faham. Selepas berlatih keras di China, saya hanya perlu mengekalkan kecergasan untuk memuncak di ACC nanti,” katanya.

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 3 Februari lalu memutuskan Anuar bakal digandingkan dengan Zamri Salleh, Akmal Amrun dan Amir Mustafa Rusli bagi mewakili negara dalam acara lebuh raya elit lelaki tetapi dia diganti dengan Harrif Salleh pada mesyuarat pengurus pasukan ACC 2012, semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan negara, Omar Saad berkata, panel pemilihan memutuskan untuk menggugurkan Anuar selepas tidak memberikan komitmen dalam sesi latihan sedangkan seorang lagi pelumba Champion System, Mohamad Adiq Hussainie Othman boleh berlatih bersama-sama.

“Anuar ada matlamat sendiri untuk Champion System, dia beritahu tidak menyertai kem latihan kerana takut mengganggu program. Pencapaian Anuar dan Harrif lebih kurang sama, lagipun ACC tidak pernah berlaku perlumbaan secara beramai-ramai tentu ada breakaway, jadi kita perlukan pelumba yang all-rounder,” katanya.

No comments:

Post a Comment