Saturday, February 25, 2012

Anuar Ketuai Cabaran Anak Tempatan ke LTdL 2012

Pelumba yang membawa cabaran untuk pasukan Malaysia.

Melihat kepada senarai pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, sebanyak 14 daripada 132 pelumba adalah anak tempatan yang bakal membawa cabaran baik untuk pasukan kebangsaan mahupun profesional.

Mengetuai senarai pelumba tempatan, ialah bekas Raja Pecut LTdL 2010, Anuar Manan bersama pasukan pro benua, Champion System dan pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu bercita-cita untuk merampas semula jersi biru yang dimenangi oleh Andrea Guardini (Farnese Vini).

"Saya akan menyasarkan perlumbaan di laluan landai terutama sekali apabila perlumbaan ini memasuki Terengganu pada tiga peringkat terakhir nanti. Saya mahu menggunakan peluang yang ada sebagai anak kelahiran Terengganu sekali gus menghadiahkan kemenangan di hadapan rakyat Terengganu," katanya.

Turut bersama Anuar dalam pasukan Champion System ialah seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu, Mohamad Adiq Husainie Othman yang juga pemenang pingat perak bagi acara lebuh raya bawah 23 tahun Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 minggu lepas.

Seorang lagi pelumba negara, Ng Yong Li bakal membantu pasukannya Azad University Cross Team dalam perlumbaan edisi ke-17 ini, manakala Loh Sea Keong pula bakal membuat kemunculan sulung bersama pasukan OCBC Singapura.

Tumpuan juga terarah kepada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) yang hadir pada tahun kedua berturut-turut dengan menyenaraikan empat pelumba kelahiran negeri tersebut Mohd. Harrif Salleh, Zamri Salleh, Mohd. Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saufi Mat Senan.

TSG dilihat serius untuk memenangi jersi biru, selepas Harrif yang bertindak sebagai pembantu kepada Anuar tahun lalu, dinaikkan pangkat menjadi pelumba pecut utama dan bakal dibantu pelumba berpengalaman dari Jepun, Shinichi Fukushima.

Tidak diletakkan harapan tinggi, namun semangat pasukan kebangsaan tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja, kehadiran pelumba berpengalaman seperti Suhardi Hassan, Ahmad Fallanie Ali, Amir Mustafa Rusli, Mohd. Nur Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi bakal memberi cabaran sengit kepada pelumba lain.

Kecuali Ahmad Fallanie dan Mohd. Fauzan, pelumba lain adalah muka lama dan menjadi taruhan jurulatih, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan yang menganggap persiapan anak buahnya semakin mantap dari masa ke semasa.

"Kita cuba untuk memperbaiki kedudukan tahun lepas, dengan mengharapkan Suhardi dan Rizuan mampu menyerlah di zon pecutan manakala Fauzan akan cuba untuk menyerlah di zon pendakian manakala pelumba lain bertindak sebagai pelumba domestik," katanya di ACC baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment