Friday, February 10, 2012

Azizulhasni, Fatehah ke Final Pecut ACC2012

Pelumba trek sensasi negara, Azizulhasni Awang (gambar kiri) cemerlang di laman sendiri apabila berjaya mara ke saingan akhir pecut Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 yang berlangsung di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Turut cemerlang ialah pelumba wanita, Fatehah Mustapa yang juga berjaya menempatkan diri ke akhir ini menandakan bahawa sekurang-kurangnya dua pingat perak berada dalam genggaman hari ini.

Azizulhasni yang juga dikenali sebagai The Pocketrocketman melakukan kejutan selepas menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010, Zhang Lei pada peringkat separuh akhir dan akan bertemu pelumba Jepun, Kazunari Watanabe di peringkat akhir.

"Saya memang gembira sangat, sebenarnya saya diletakkan 40 peratus sahaja untuk memenangi perlumbaan ini selebihnya adalah milik Zhang Lei, kerana peringkat kelayakan dia mencatat masa kedua terpantas dan dia merupakan pakar dalam kategori ini," katanya ketika ditemui media semalam.

Jelasnya, dia hanya mahu berlumba sahaja dalam acara tersebut kerana lebih memikirkan perlumbaan keirin, bagaimanapun tanpa disangka prestasinya meningkat dari masa ke semasa.

"Antara faktor utama saya boleh beraksi dengan baik mungkin kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri dan sudah lama tidak beraksi di trek ini, malah John Beasley (ketua jurulatih) juga terkejut dengan prestasi saya.

"Saya hanya mensasarkan memenangi pingat tetapi tidak sangka mampu mara sehingga ke akhir, jadi saya cuba buat yang terbaik esok (hari ini)," kata Azizulhasni yang tidak sangka bertemu Watanabe sedangkan kedua-duanya bertukar pendapat sebelum saingan suku akhir.

Sementara itu, Fatehah yang memenangi pingat gangsa pada awal pagi dalam saingan 500 meter ujian masa, mara ke akhir selepas menumbangkan pelumba Jepun, Kayono Maeda di separuh akhir.

Fatehah akan bertemu dengan pemenang pingat emas acara 500 meter ujian masa, Lee Wai Sze dari Hong Kong dan ia merupakan kali pertama pelumba kelahiran Terengganu itu mara ke saingan akhir ACC.

No comments:

Post a Comment