Monday, February 20, 2012

Azizulhasni Tangga kelapan, Hoy Ungguli Emas

Nasib tidak menyebelahi pelumba negara, Mohd Azizulhasni Awang apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelapan dalam acara keirin Kejuaraan Basikal Trek Dunia di London, kelmarin.

Anak muda kelahiran Dungun, Terengganu itu diletakkan dalam kelompok bersama-sama dengan juara Olimpik empat kali, Chris Hoy, Teun Mulden dan Enders Rene yang berjaya mengatasinya pada selekoh terakhir perlumbaan.

Keadaan kesihatan Azizul yang tidak begitu mengizinkan menjejaskan prestasinya setelah terpaksa melalui cuaca panas dan lembap di Kuala Lumpur sebelum berhadapan cuaca sejuk di London pula.

Dia yang kemudiannya bersaing untuk merebut kedudukan ketujuh hingga ke-12, berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Chris Hoy berjaya muncul juara perlumbaan tersebut setelah mengetepikan rakan sepasukan, Matthew Crampton.

Keputusan tersebut membolehkan Azizul memperbaiki pungutan matanya dan semakin menghampiri rakan senegara, Josiah Ng Onn Lam dan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe selepas berakhirnya empat perlumbaan Piala Dunia.

Bagaimanapun, Azizul yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan sebelum ini, hanya menyertai tiga daripada empat kejuaraan dunia itu.

Untuk kedudukan keseluruhan, Josiah kini berada di tangga kelapan dengan 9 mata, manakala Azizul di tempat ke-10 yang turut memungut 9 mata. Berada di kedudukan kesembilan ialah Watanabe yang juga mengumpul 9 mata.

Kedudukan keseluruhan ranking Olimpik, Malaysia kini menghuni tempat kelima di belakang Australia, Great Britain, Perancis dan New Zealand.

Pencabar terdekat skuad negara untuk benua Asia ialah Jepun yang berada di tempat kelapan iaitu di belakang Jerman dan Belanda.

No comments:

Post a Comment