Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam.
Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.
Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd. Sidek Hassan (gambar kiri) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.
“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.
“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya, " katanya.
Jemale berkata, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merangka serta meneliti skim tersebut khusus kepada penjawat awam dalam bidang pendidikan.
"Dalam tempoh lapan hari bermula hari ini (semalam), kita akan menyiapkan satu kertas cadangan berhubung skala gaji baru kepada penjawat awam dalam bidang berkenaan.
"Antara aspek yang diberi keutamaan adalah isu kenaikan gaji, kenaikan gaji tahunan sebanyak RM80 hingga RM320 serta cadangan merapatkan jurang gaji penjawat awam gred tinggi dengan rendah," katanya dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan majlis taklimat dan mesyuarat SBPA, di sini hari ini.
Menurut Jemale, skim SBPA yang baru diperkenalkan kerajaan dilihat tidak jelas dan kurang menepati keperluan penjawat awam dalam bidang tersebut.
Sehubungan itu katanya, MPKPG akan mengadakan satu perjumpaan segera bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka pada penghujung bulan ini.
"Dalam perjumpaan itu nanti kami akan mengemukakan kertas cadangan berhubung penambahbaikan untuk skim tersebut," katanya.
Sementara itu, MPKPG turut mencadangkan Ketua Setiausaha Negara agar melantik wakil guru dalam Pasukan Petugas Khas Semakan Semula SBPA.
"Tiga nama wakil yang dicadangkan adalah Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamaed Sabri Mohd. Arsad; Presiden Kesatuan Guru Sarawak dan Sabah, William Ghani Bina dan saya sebagai mewakili MPKPG.
"Kita berharap golongan pendidik dapat turut serta dalam pasukan tersebut sebagai usaha memperoleh cadangan serta pendapat daripada golongan ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment