Saturday, February 18, 2012

Bisnes Lemang Terjejas Akibat Debu Dari Bukit Panjang

Selepas dibelenggu masalah debu sejak dua minggu lalu, hanya tiga daripada 21 peniaga di deretan gerai lemang Kijal, Jalan Bukit Anak Dara, dekat Bandar Baru Kijal yang masih meneruskan perniagaan walaupun majoriti yang lain bertindak menutup gerai kerana tidak tahan menghidu habuk saban hari.

Lebih teruk lagi, masalah itu bukan sahaja memberi kesan kepada mereka, bahkan pengguna jalan raya turut berdepan dengan masalah jarak penglihatan terhad lebih-lebih lagi apabila kenderaan berat seperti lori tanah turut melalui jalan tersebut.

Roslina Mohamad, 36, yang mula berniaga di gerai lemang berkenaan sejak enam tahun lalu berkata, masalah itu berlaku sejak dua minggu lalu kerana kerja-kerja mengambil tanah giat dilakukan di kawasan Bukit Panjang menyebabkan laluan itu menjadi jalan lori mengangkut tanah.

“Masalah debu ini cukup memberi kesan kepada kami kerana kami berniaga makanan, kalau pelanggan yang mementingkan kebersihan, mereka tidak akan singgah di gerai kami melihat keadaan di depan kedai yang habuk berterbangan,” katanya kepada Sinar Harian yang turun meninjau masalah yang di hadapi peniaga terbabit, kelmarin.

Luahnya, keadaan bertambah teruk ketika waktu tengah hari dan petang kerana debu yang berterbangan menyebabkan laluan itu kelihatan seperti dilanda jerebu tebal.

Menyedihkan lagi, masalah itu mengakibatkan peniaga bukan sahaja terpaksa menutup hidung mengelak menghidu asap membakar lemang, malah terpaksa pula menahan dari menghidu debu jalan.

Akibat situasi itu, Roslina yang membuka gerai pada jam 8 pagi hingga 11 malam setiap hari, mengakui ada rakan-rakannya yang berniaga bersebelahan gerainya mengalami demam dan batuk.

“Menjual lemang adalah punca pendapatan utama saya, kalau tak berniaga apa saya dan anak-anak nak makan. Saya dan peniaga di sini bukan mahu menghalang kerja-kerja pembangunan tetapi cuma mengharap agar pemaju menyiram air di sepanjang laluan lori agar masalah debu ini dapat diatasi,” rayu ibu kepada dua anak ini.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment