Monday, February 20, 2012

Kehadiran Pasukan Astana Dari Kazakhstan Hangatkan Saingan

Saingan sengit untuk jersi biru (Raja Pecut) pasti berlaku dengan kehadiran pasukan berstatus Pro-Tour, Astana dari Kazakhstan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang bermula di Putrajaya pada 24 Februari ini.

Ketua pasukan Astana, Vinokourov Alexandre berkata, mereka mahu mencapai sasaran yang lebih baik pada perlumbaan edisi ke-17 tahun ini.

"Saya telah menyertai perlumbaan berprestij ini pada 1997 dan ini merupakan penampilan kali kedua. Kehadiran kami hanyalah mahu memburu pencapaian yang terbaik.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk memenangi satu peringkat perlumbaan. LTdL mempunyai tempat khas dalam hati saya dan sudah tentu perlumbaan 10 hari ini adalah medan untuk membuktikan prestasi saya," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Vinokourov, Alexandre Dyachenko dan Andrey Zeits bersama pengurus pasukan, Alexandr Shefer tiba di ibu negara bagi memulakan saingan sejauh 1,410.7 kilometer itu dengan peringkat pertama acara ujian masa individu bermula di Putrajaya.

Vinokourov akan diiiringi oleh pelumba pecut, Assan Bazayev dan Alexandre (yang menduduki tempat kesembilan pada Kejohanan Dunia 2011), Dimitriy Gruzdev, Valentin Iglinskiy (juara Jelajah Hainan 2010 dan 2011) serta Andrey, naib juara Jelajah Turki tahun lepas.

Edisi LTdL tahun ini akan menyaksikan sejarah apabila lima bekas juara akan kembali bersaing.

Mereka terdiri daripada juara edisi 2003, Tom Danielson, Freddy Gonzalez (2004), Anthony Charteau (2007), Jose Rujano (2010) dan Jonnatha Monsalve yang ingin mempertahankan kejuaraan.

Untuk rekod, hanya Paolo Lanfranchi berjaya memenangi kejuaraan LTdL untuk dua kali iaitu pada tahun 1999 dan 2001.

LANGKAH 'pendekar' Gergasi Merah, Selangor ketika ini dilihat cukup sukar digugat.
Malam kelmarin, Shahzan Muda menjadi mangsa 'amukan' Merah Kuning itu apabila 'dibedil' di depan penyokong sendiri dengan keputusan 0-4 dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2012.

Ia merupakan rentetan kemenangan yang cukup bermakna buat Gergasi Merah selepas membenam Kelantan 2-1 dalam aksi Liga Super Selasa minggu lepas, sekali gus menutup mulut pengkritik yang meragui persembahan hambar pasukan itu pada permulaan musim ini.

Dengan kemenangan itu, semifinalis Piala FA 2011 itu bakal berdepan bekas 'sifu' mereka, K. Devan di pusingan kedua pada 10 Mac depan selepas Johor FC berjaya mengejutkan juara edisi 2010, Negeri Sembilan di gelanggang lawan dalam satu lagi perlawanan kelmarin.

Sudah pasti, pertemuan 'mata bertentang mata' antara Devan dan jurulatih baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjanjikan sesuatu yang istimewa buat peminat fanatik Merah Kuning, bagi membuktikan siapa sebenarnya yang lebih hebat.

Irfan begitupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menyifatkannya masih terlalu awal untuk menimbang-tara sebarang kemungkinan menjelang pertemuan dengan Sang Lebah di pusingan kedua nanti.

Menurut beliau, pemainnya mahu menumpukan sepenuh perhatian terlebih dahulu menentang Kedah di gelanggang lawan bagi saingan Liga Super pada 3 Mac depan sebelum memikirkan ramuan istimewa bagi mengekang kemaraan anak-anak buah Devan selepas itu.

"Masih terlalu awal (membuat sebarang andaian menentang Johor FC), bagi saya ia tidak ada bezanya dengan perlawanan lain.

"Ia mungkin penting (bagi peminat Selangor) berdepan semula Devan, tetapi saya rasa ia tidak lebih daripada sekadar satu kebetulan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment