Tuesday, February 28, 2012

Kerajaan Laksana Konsep Bina Kemudian Jual Sepenuhnya Tahun 2015



Kerajaan akan melaksanakan konsep Bina Kemudian Jual menjelang tahun 2015 sebagai sebahagian inisiatif bagi membendung projek perumahan terbengkalai.

Menurut Laporan Tahunan 2011 Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, konsep itu akan dilaksanakan melalui pembiayaan perumahan berlandaskan syariah kepada pembeli.

Selain itu, kerajaan juga mengenakan perundangan yang lebih ketat melalui pindaan pada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Antaranya ialah meningkatkan deposit daripada RM200,000 kepada tiga peratus daripada jumlah anggaran kos pembangunan fizikal yang juga termasuk yuran profesional untuk Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) dan mengenakan penalti maksimum RM50,000 dari RM20,000 sebelumnya untuk kesalahan yang dibuat pemaju di bawah mana-mana peruntukan Akta 118.

Pindaan yang diluluskan Parlimen itu tahun lepas juga memberi pembeli lebih hak dalam soal pembelian rumah, termasuk pilihan untuk membatalkan Perjanjian Jual Beli sekiranya tiada kemajuan di tapak dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian, serta meluaskan skop Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah bagi membolehkan pembeli rumah membuat tuntutan ganti rugi daripada pemaju projek perumahan yang tidak berlesen.

No comments:

Post a Comment