Ahmad Said (depan, empat dari kiri) meninjau kawasan dalam Kompleks tekstil di Bandar Baru Kijal, Kemaman, kelmarin.
Kompleks tekstil yang menjadi salah satu komponen penting yang bakal menjana perkembangan Bandar Baru Kijal dijangka beroperasi Mac ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pusat tekstil terbesar di Pantai Timur itu disasarkan sebagai lokasi pengusaha tekstil dari dalam dan luar negara.
Menurut Ahmad, kompleks tiga tingkat bernilai kira-kira RM40.7 juta itu mengandungi 44 unit kedai bakal merancakkan pertumbuhan bandar yang sedang dibangunkan.
“Dengan sewa bulanan RM3,500 seunit, pusat itu bakal menjadi tumpuan pemborong dan peruncit tekstil dari seluruh negara termasuk 10 pengusaha tempatan yang telah menyatakan minat untuk bertapak di sini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan perkembangan projek berkenaan kelmarin.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim; Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran, Mustafar Khalid.
Katanya, projek itu diharap menjadi pusat tumpuan umum sebagaimana Nilai di Negeri Sembilan dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.
“Jadi dengan itu rakyat di sebelah Pantai Timur tidak lagi perlu ke Nilai 3 atau Kuala Lumpur untuk berbelanja,” katanya.
Komplek itu adalah antara 12 komponen projek bagi pembangunan bandar berkenaan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM143 juta.
Pembangunan di tanah seluas 160 hektar itu turut melibatkan unit kedai, Kompleks Usahawan Mara, tapak pendaratan kering Jabatan Kastam dan loji rawatan kumbahan.
“Apabila siap sepenuhnya, ia mampu menjadi penjana ekonomi di Kijal dengan ribuan peluang pekerjaan. Turut dirancang ialah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah dan Hospital Daerah,” katanya.
Ahmad Said turut mengingatkan pihak kontraktor yang diberi tanggungjawab menyiapkan jalan dan sistem perparitan bandar itu dapat menyempurnakan projek berkenaan mengikut jadual.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment