Wednesday, February 15, 2012

Mayat Pelajar Lemas Ditemui Di Pesisir Pantai Bt Buruk

Mayat Ahmad Saibi Amir Muslim, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Ladang yang lemas petang semalam ditemui kira-kira pukul 7.42 pagi semalam di pesisir pantai Batu Buruk, di Kuala Terengganu.

Mayat mangsa yang tinggal di Bukit Besar, di Kuala Terengganu ditemui Pasukan Bomba dan Penyelamat yang baru bersiap untuk memulakan gerakan mencari mangsa setelah operasi dihentikan 8 malam Isnin.

Nenek mangsa Madihah Othman, 58, ketika ditemui berkata dia terkilan kerana tidak sempat menunaikan janji untuk membawa mangsa ke Kuala Lumpur minggu depan.

Katanya semasa kejadian dia berada di rumah dan terlewat untuk menjemput mangsa yang selesai menghadiri Kelas Agama Fardhu Ain di sekolah kira-kira pukul 4.30 petang.

"Saya tidak tahu dia ke pantai bersama dua kawannya, kerana menyangkakan arwah masih di sekolah namun terkejut setelah dimaklumkan oleh seorang saudara yang tinggal berhampiran tentang kejadian lemas itu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, awal pagi semalam.

Madihah berkata beliau pernah mengingatkan cucunya agar tidak mandi di pantai itu dan berkata jika cucunya berdegil, beliau akan meletaknya di dalam plastik hitam.

"Tak sanga pula dia betul-betul dibalut dengan plastik hitam hari ini," katanya pilu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.15 petang semalam Ahmad Saibi dikatakan sedang mandi bersama dua lagi rakannya apabila tiba-tiba pelampung yang digunakan mangsa pecah dilambung ombak besar setinggi dua meter.

Dua rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Mangsa sempat menjerit meminta tolong bagaimanapun tenggelam dan dibawa arus deras.

No comments:

Post a Comment