Operasi bersepadu bagi mengesan 1.3 juta pekerja/pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tidak mendaftar dalam proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) akan dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara bermula 16 Februari ini, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.
Beliau berkata, operasi itu akan dilaksanakan selepas tamatnya proses pemutihan Program 6P pada 15 Februari.
“Operasi ini akan digerakkan secara menyeluruh melibatkan semua penguat kuasa dan ia akan diperhalusi sehingga ke peringkat negeri bermula di Semenanjung terlebih dahulu.
“Ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen bersama-sama dengan agensi penguatkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Sukarelawan (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada mStar Online.
Menurut Alias, sehingga kini, seramai 380,000 Pati telah mendaftar menerusi proses pemutihan Program 6P.
“Daripada jumlah itu, seramai 93,000 Pati telah pulang ke negara asal masing-masing dengan suka rela melalui proses pengampunan,” katanya.
Alias bagaimanapun menjelaskan bahawa operasi bersepadu itu bukan sahaja menumpukan perhatian kepada Pati yang tidak mendaftar tetapi akan turut melibatkan para majikan yang gagal untuk berbuat demikian.
“Kita sudah berikan masa yang cukup untuk mereka. Kegagalan mereka untuk mendaftar dan memberi kerjasama menunjukkan mereka sengaja mengambil kesempatan dan tidak mempedulikan peraturan.
“Majikan juga akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya lagi.
Operasi bersepadu itu antara lain dijangka melibatkan 1,400 anggota penguat kuasa imigresen dengan bantuan 2.8 juta anggota Rela di seluruh negara.
“Di pihak Jabatan Imigresen sendiri, kita telah melakukan operasi berskala kecil dari semasa ke semasa membabitkan seramai 780 pegawai penguat kuasa di seluruh negara,” jelas Alias.
No comments:
Post a Comment