Saturday, February 18, 2012

Pameran Nostalgia Kampung Cina di Muzium Terengganu

Orang ramai berpeluang melihat wajah silam Kampung Cina, salah satu penempatan terawal di pusat bandar raya ini dalam pameran di Muzium Negeri mulai 20 Februari hingga 18 Mac depan.

Pameran Nostalgia Kampung Cina itu dianjurkan oleh muzium bersama kakitangan akademik serta pelajar Fakulti Seni Reka dan Arkitek Bangunan Universiti Taylor's, Selangor.

Antara tarikan utama adalah lukisan lama pemandangan Kampung Cina yang berusia lebih 100 tahun serta beberapa artifak milik penduduk yang ada di antaranya merupakan generasi ketujuh di penempatan itu.

Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, lebih 30 lukisan dan 30 gambar lama selain 20 gambar baru penempatan berusia lebih 200 tahun itu turut dipamerkan, di samping artifak lain.

Katanya, Kampung Cina yang merupakan salah sebuah penempatan masyarakat Cina tertua di negara ini mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menjadi penempatan pelbagai kaum dan perkongsian budaya.

"Pengunjung dapat menyelami suasana kehidupan silam apabila pelbagai dekorasi seperti papan tanda lama, pintu, meja serta beberapa barang-barang dapur bakal dijadikan hiasan di galeri tersebut.

"Pada majlis perasmian nanti, sebuah buku berkenaan kampung ini juga bakal dilancarkan yang memaparkan sejarah penempatan itu," katanya semalam.

Dalam pada itu, Universiti Taylor's yang diwakili pensyarahnya, Normah Sulaiman memberitahu, pada pameran itu, orang ramai juga dihidangkan dengan pertunjukan video mengenai kampung itu yang dihasilkan pelajar.

"Pengunjung juga berpeluang melihat ketelitian lukisan terukur (measure drawing) yang dilakukan -pelajar yang mengambil masa dua tahun untuk diterjemahkan dalam lukisan, " katanya.

Selain itu, katanya, seminar berkenaan Kampung Cina (27 Mac), demonstrasi kaligrafi dan origami (12 Mac) serta persembahan muzik klasik Cina (20 Mac) juga diadakan sempena pameran itu.

No comments:

Post a Comment