Penganjur satu kempen keselamatan jalan raya di sini kecewa dengan perbuatan segelintir pemandu yang mencemuh usaha itu yang dikatakan menjadi punca jalan raya sesak.
Bagaimanapun, cemuhan itu tidak mematahkan usaha penganjur yang termasuk Kelab Kebudayaan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun) meneruskan kempen berkenaan setiap tahun di seluruh Terengganu terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh.
Pengerusi kelab itu Datuk Alex Ong Yeok Ling berkata sepatutnya pengguna faham mengenai aktiviti positif bagi membantu pihak berkuasa dan agensi kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan bukannya memberi komen sedemikian.
Katanya apa yang dilakukan pihaknya untuk mengedar risalah adalah penting bagi tujuan menyedarkan semua pihak mengenai keselamatan di jalan raya.
"Sesetengah pengguna samseng, mereka marahkan kita menjadi penyebab jalan raya sesak teruk," katanya kepada pemberita sempena pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Chap Goh Meh 2012 diKuala Terengganu, semalam.
Turut bekerjasama dalam program itu adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.
Ong berkata program itu menjadi aktiviti tahunan Kesun bagi menyedarkan orang ramai mengenai keselamatan nyawa ketika pemanduan.
Beliau berkata usaha positif dan sihat itu juga mampu membantu pihak berkuasa dalam menjayakan matlamat mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya khususnya pada musim perayaan.
Sejak sebulan lepas, 50,000 risalah mengenai kempen berkenaan diedarkan kepada pemandu dan penunggang motosikal di setiap daerah di negeri itu.
No comments:
Post a Comment