Seekor penyu agar atau nama saintifiknya ‘Chelonia mydas’ seberat lebih 100 kilogram dipercayai mati tersangkut pada pukat nelayan sebelum ditemui mati terdampar oleh orang ramai dan kaki pancing di Pantai Kelulut di Marang, kelmarin.
Seorang penduduk ditemui di tempat kejadian, Awang Muda Mohamad, 46, berkata, penyu yang ditemui itu dipercayai mati lebih dua hari lalu sebelum hanyut ke pantai berdasarkan keadaan bangkai yang sudah mulai reput dan berbau.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kepala haiwan hampir pupus itu juga tercedera.
“Ada kemungkinan penyu ini mati tersangkut pada pukat nelayan berdasarkan kecederaan pada kepalanya. Penyu jenis ini biasanya mati tersangkut pada pukat tunda atau jaring pukat pari sebelum dibuang ke laut lalu dihanyutkan ombak ke pantai,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Terengganu ketika dihubungi Sinar Harian juga tidak menolak kemungkinan bangkai penyu agar dewasa yang ditemui terdampar di Pantai Kelulut itu mati apabila haiwan itu tersangkut pukat nelayan.
Pengarahnya, Zakaria Ismail, berkata berdasarkan siasatan awal, penyu yang dipercayai spesies penyu agar itu mungkin tersangkut pada pukat nelayan iaitu pukat pari dan mati di tengah laut, sebelum bangkainya dibuang dan hanyut ke pantai berkenaan.
Zakaria berkata, pukat pari mempunyai ukuran mata melebihi 25.4 sentimeter yang digunakan khas untuk menangkap ikan pari berbahaya kepada penyu kerana ia turut boleh memerangkap haiwan itu sekali gus menyebabkan kematiannya.
Menurutnya, sepanjang Januari tahun ini sebanyak tiga ekor penyu agar ditemui mati terdampar di pantai negeri itu dipercayai berpunca daripada penggunaan peralatan dilarang termasuk pukat pari seperti yang berlaku dalam kes di Pantai Kelulut di sini.
“Sepanjang bulan ini Jabatan Perikanan Terengganu sudah mengesan tiga penyu agar mati terdampar iaitu seekor di Kuala Merchang, Marang, seekor lagi di Pantai Kuala Abang, Dungun dan yang terakhir ialah di Pantai Kelulut di sini, seperti yang telah dilaporkan.
“Manakala sebanyak 134 pukat pari telah disita di sekitar perairan negeri sejak April hingga September tahun lalu dalam operasi mengesan pukat pari yang kegunaannya adalah salah mengikut Enakmen Penyu Negeri Terengganu dan Akta Perikanan,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, nelayan yang tertangkap penyu dengan tidak sengaja semasa menjaring ikan hendaklah segera melepaskannya manakala jika penyu itu didapati mati mereka perlu melaporkan kepada pegawai perikanan bagi tindakan pelupusan.
No comments:
Post a Comment