Azizulhasni Awang mendengar arahan jurulatihnya John Beasley sebelum beraksi dalam acara pecut pada ACC 2012 di Velodrom Cheras, semalam.
Jaguh basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang tidak menghadapi masalah untuk menempatkan diri ke saingan suku akhir acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Kehebatan Azizulhasni atau digelar The Pocketrocketman gagal dikekang oleh pelumba Iran, Ahmad Asgherpourdarabi dalam perlumbaan pusingan pertama dan menempah ke suku akhir bertemu jaguh dari Jepun, Kazunari Watanabe dari Jepun hari ini.
Menurut Azizulhasni, dia tidak menyangka dapat mencatat masa 10.3 saat pada peringkat kelayakan yang dijalankan pada sebelah pagi tatkala prestasinya masih belum mantap sepenuhnya.
"Saya masih belum menganggap kayuhan saya berada pada tahap terbaik dengan menyangka saya akan hanya mencatat dalam lingkungan 10.5s tetapi pada peringkat kelayakan saya mampu mencatat 10.3s," katanya ketika ditemui semalam.
Jelasnya, masih banyak yang perlu diperbaikinya menjelang saingan suku akhir hari ini dan dia berazam mahu melayakkan diri ke peringkat akhir seterusnya meraih pingat.
"Watanabe bukan calang-calang pelumba. Saya tewas kepadanya pada kejohanan yang sama dua tahun lalu di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menyebabkan saya gagal mara ke saingan akhir dalam acara ini.
"Saya belum merasakan mampu memberi yang terbaik tetapi beraksi di tempat sendiri di hadapan penyokong sendiri, mungkin akan memberi semangat yang luar biasa buat saya," katanya.
Ditanya mengenai bila kali terakhir dia beraksi di velodrom tersebut, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata ia adalah pada 2006 pada kejohanan yang sama sekali gus mengimbau kembali kenangannya.
"Saya mahu mengekalkan momentum ini, saya puas hati dapat menempatkan diri ke suku akhir, saya perlu yakin dengan diri sendiri untuk mara ke peringkat akhir," kata pelumba berusia 23 tahun itu.
Turut mara ke suku akhir pecut adalah Fatehah Mustapa bagi kategori wanita elit, pelumba yang berpengkalan di Melbourne itu juga akan mengambil bahagian dalam acara 500 meter ujian masa.
Dua lagi pelumba negara, yang beraksi dalam pecut elit Muhamad Edrus Yunus dan Ju Pha Som Net tersekat di peringkat repercharges.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment