Saturday, February 25, 2012

Semua Projek Bina Masjid Dan Surau Perlu Dapat Kebenaran Maidam - Titah Sultan Mizan

Setiap projek pembinaan masjid atau surau di negeri ini perlu mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu bagi tujuan penyeragaman dalam pengimarahan, selain mengelak pertindihan kuasa dalam menguruskan pentadbiran sesebuah masjid.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pada masa sama, pelantikan imam, bilal serta jawatankuasa masjid juga sewajarnya mendapat kelulusan MAIDAM.

Selain itu, titah baginda, bagi tujuan pembinaan institusi masjid dan surau, ia juga perlu membuat pengisytiharan pewakafan tapak bangunan itu kepada pihak berkuasa agama tersebut.

“MAIDAM diberi kuasa untuk menyelaras dan mengelola segala urusan pentadbiran masjid di Terengganu mengikut peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001, begitu juga dengan pelantikan imam, bilal serta jawatankuasa masjid,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh, semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, pembesar serta kenamaan negeri.

Masjid kayu itu yang siap sepenuhnya pada Julai tahun lalu dengan menelan kos kira-kira RM12 juta mampu menampung kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Sultan Mizan turut berharap pihak mengurus tadbir masjid lebih bertanggungjawab seterusnya mengelak melakukan pecah amanah sehingga menjejaskan kesucian institusi berkenaan.

Sebelum itu, Sultan Mizan yang diiringi Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat melawat serta mendengar taklimat di Desa Ukiran Kayu di Kampung Raja, Jerteh.

Baginda berdua juga berangkat ke majlis Jamuan Teh di Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah di Kampung Limbungan di sini.

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah dijadual berkenan mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Besut di Pejabat di sini pagi esok sebelum mengakhiri lawatan dua hari ke daerah ini.

No comments:

Post a Comment