Tuesday, February 7, 2012
Telan 100,000 Pil Untuk Melawan Sawan
Bagi sesetengah orang berada di hospital pun sudah fobia inikan pula terpaksa membuat pemeriksaan secara berkala dan mengambil pelbagai jenis ubat mengikut jadual sepanjang hidup gara-gara penyakit dihidapi.
Namun, itulah yang dihadapi seorang pemuda di sini, Fadli Tahir, 37, yang terpaksa pasrah dan akur dengan suratan takdir selepas disahkan menghidap epilepsi atau sawan sejak berumur 15 tahun.
Sejak itu, Fadli terpaksa hidup bergantung kepada pelbagai jenis pil untuk membolehkan dia menjalani hidup seperti manusia normal.
“Disebabkan penyakit itu, saya terpaksa makan pelbagai jenis pil mengikut jadual setiap hari. Sehari perlu makan 12 biji pil, pagi (3), tengah hari (4) dan malam (5). Begitulah rutin saya sejak 22 tahun lalu sehinggalah ke hari ini.
“Jika dikira kesemua pil yang saya telan jumlah keseluruhannya sudah hampir 100,000 biji,” katanya.
Menurut Fadli, jika sehari dia tidak mengambil pil berkenaan, penyakit sawannya akan menyerang secara tiba-tiba malah dia juga tidak boleh melakukan pekerjaan berat.
“Walaupun makan ubat, saya juga tidak boleh melakukan kerja kerana apabila berpeluh saya akan pening dan sawan akan menyerang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Paya Resak, di sini.
Fadli yang hanya bersekolah setakat tingkatan dua sahaja terpaksa bergantung penuh kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Lebih malang, apabila dia juga terpaksa melupakan hasrat untuk berkeluarga seperti rakan sebaya yang lain memandangkan keadaan diri yang tidak mampu mencari nafkah.
Dia yang kini tinggal bersama ibunya, Minah Osman, 75, selepas bapanya, Tahir Salleh, meninggal dunia tiga tahun lalu bagaimanapun berharap jika ada pihak yang dapat membantunya mencari penawar penyakit yang dideritai walaupun untuk pulih sepenuhnya mungkin agak mustahil.
Selain itu, Fadli juga berharap agar pihak JKM dapat menambah elaun bulanan diterima bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat bagi membantu meringankan beban ditanggung ibunya dalam menyediakan keperluan harian mereka.
“Saya bersyukur kerana menerima bantuan bulanan malah pelbagai jenis ubat-ubatan turut diberikan secara percuma. Apa yang menjadi masalah ialah kos kehidupan semakin meningkat tetapi saya pula tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment