Gambar velodrom Jepun tertutup bertaraf antarabangsa.
Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang menggangap sudah tiba masanya untuk negara memiliki sebuah velodrom tertutup bertaraf antarabangsa ketika negara jiran, Singapura, turut merancang membina velodrom itu tahun depan.
Katanya, velodrom itu bakal memberi kelebihan kepada pelumba tempatan ketika keadaan velodrom terbuka di Cheras yang akan menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) Rabu ini langsung tidak memberi sebarang kelebihan kepada pelumba negara.
“Memang saya harap Malaysia memiliki satu velodrom tertutup demi kebaikan pelumba negara. Ia penting untuk terus menggilap bakat muda pada masa depan.
“Kini, Jepun sudah ada velodrom tertutup, Singapura juga dilapor membina velodrom ini dan dijangka siap tahun depan. Saya harap mana-mana syarikat dapat merealisasikannya,” katanya.
Menjelang aksi di ACC yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik, Azizul yang ditaja Yayasan Sime Darby sejak 2010 mahu memastikan velodrom Cheras menjadi saksi kebangkitannya dengan menghadiahkan pingat buat negara.
Azizul yang menyertai acara keirin dan pecut mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat selepas menghadiahkan tiga emas dalam kategori remaja ketika beraksi di tempat sama pada 2006.
Namun, anak jati Terengganu itu mengaku biarpun beraksi di tempat sendiri ia tidak memberi kelebihan dan semua pelumba memiliki peluang sama rata.
“Kami tidak memiliki kelebihan kerana sebelum ini saya menjalani latihan di velodrom tertutup.
“Tapi saya yakin dan dapat merasakan prestasi sentiasa meningkat setiap kali menyertai perlumbaan justeru berharap dapat buat yang terbaik terutama di hadapan penyokong sendiri.
“Peluang meraih pingat emas ada tapi semuanya terpulang kepada taktik pada hari pertandingan. Andai semua berjalan lancar memang tiada masalah untuk dapatkan emas. Apapun saya pasti beri yang terbaik,” katanya.
Kali terakhir Azizul merangkul emas di ACC 2009 di Kalimatan Indonesia menerusi acara keirin dan tahun lalu di kejohanan yang sama di Korat, Thailand, skuad negara membawa pulang satu emas, satu perak dan lima gangsa. Emas negara disumbang jaguh 1 kilometer negara, Rizal Tisin.
Mengulas peluang Azizul untuk layak ke Olimpik, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad yakin Azizul berpeluang cerah. begitu juga dengan Josiah Ng.
Katanya, Azizul dan Josiah berada dalam kedudukan selesa untuk pungutan mata namun perlu berhati-hati dengan pelumba China dan Jepun
No comments:
Post a Comment