Sunday, February 12, 2012

UMNO Siasat Semula Permohonan Khamsiah Kepada JKIM Ditolak

“Saya rasa amat tidak patut haknya dinafikan, sudahlah dia tiada anak, suami pula meninggal, berteduh di pondok usang, orang macam mana lagi yang nak dibantu kalau bukan sepertinya?”

Demikian kata Mohd Nasir Muda, 52, adik lelaki kepada Khamsiah Muda, 56, warga emas tinggal di Jalan Nibong Stesen dalam Dewan Undangan Negeri Sura kecewa berikutan permohonannya untuk mendapat bantuan sara hidup dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditolak.

Mohd Nasir yang ditemui berkata, dia kini buntu memikirkan keadaan kakaknya yang terpaksa hidup sebatang kara selepas kematian arwah suaminya, Che Harun Ismail, 62, enam tahun lalu.

“Saya benar-benar kecewa apabila diberitahu pihak JKM bahawa permohonannya untuk mendapatkan bantuan tersebut terpaksa ditolak atas alasan tidak mendapat sokongan daripada pihak tertentu.

“Sanggup mereka menganiayai orang tua daif seperti ini, menafikan hak warga miskin sepertinya,” katanya.

Sementara itu Khamsiah yang kadangkala terpaksa bekerja di warung menjual goreng pisang untuk menyara kehidupan masih mengharapkan ada sinar baru untuknya agar permohonannya diberi pertimbangan semula oleh pihak berwajib.

Khamsiah berkata, buat masa ini, dia hanya bergantung hidup atas bantuan anak angkatnya, Rozaini Ibrahim, 33, yang kini sudah bekerja dan menetap di Batu Gajah, Perak.

Namun wang yang diberikan Rozaini untuk menyara kehidupannya tidak menentu, bergantung kepada kemampuan anak angkatnya itu.

“Makcik harap sangat agar pihak berkaitan dapat datang ke rumah, lihat keadaan makcik, guna budi bicara serta perikemanusiaan, makcik rayu sangat-sangat,” kata Khamsiah lagi.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri, Zuhaimi Omar ketika mengesahkan perkara berkenaan berkata, pihaknya sudah memproses permohonan Khamsiah, namun ia terpaksa dibatalkan disebabkan kegagalan mendapat sokongan daripada pihak pejabat Penyelaras Umno DUN Sura.

Pembantu Khas kepada Pegawai Pembangunan Dun Sura, Hafizu Din ketika diminta mengulas isu tersebut berkata siasatan awal pihaknya mendapati Khamsiah sudah menerima bantuan daripada anak angkatnya untuk membolehkan warga emas itu menyara kehidupan.

Namun pihaknya akan melakukan siasatan semula dan mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan melalui agensi JKM agar ibu tunggal sebatang kara itu dapat meneruskan kehidupannya.

“Kita akan cuba bantu dia, kajian semula akan dilakukan ke atas permohonannya dan akan mengambil tindakan segera agar nasib warga emas ini terbela,” katanya.

No comments:

Post a Comment