Tuesday, February 14, 2012

Wan Jamak Suntik Semangat Baru Untuk Kalahkan Terengganu

Skuad Kenari mempunyai ramuan tersendiri dan akan menyusun strategi bagi meraih tiga mata penuh menentang Sang Penyu malam ini.

Bermain di gelanggang lawan, Kedah berkemungkinan diperkuatkan dengan seorang lagi penyerang import dari Ghana, Mohammed Hamidan sekiranya pendaftaran pemain itu dapat dilakukan segera bagi menghadapi skuad Penyu itu.

Penggendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan yang 'pertama kali menyentuh rumput semalam' selepas dibebaskan daripada penggantungan berkata kembalinya ke padang itu bagaikan 'mati hidup semula' dan seakan memberi semangat baru kepadanya.

Setelah hanya menjadi 'penonton' dalam tempoh penggantungan tujuh perlawanan, Wan Jamak Wan Hassan kembali 'menyentuh' bola.

Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki di rumput hijau Stadium Darul Aman, Alor Setar musim ini memantau latihan ringan pemain menerusi segmen latihan berbeza berbanding pembantu jurulatihnya sebelum ini.

Dalam tempoh penggantungan itu, Kedah dibimbing jurulatih skuad Piala Presiden, Mohd. Nidzam Adzha Yusof sebelum diambil alih oleh penolong jurulatih, Radzi Mat Din.

Wan Jamak didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika menyaksikan anak-anak didiknya beraksi sekadar seri 1-1 menentang Perak pada perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September tahun lalu.

Tambahnya, selepas mengharungi tujuh perlawanan, sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan semangat dan moral pemain selain mereka perlu kembali kepada latihan sebenar.

Katanya, kehadiran Safi Abdel Fatah juga dilihat mampu meningkatkan momentum jentera serangan bagi memburu gol dan meraih kemenangan.

"Pada perlawanan menentang Sabah kita mampu lakukan sesuatu dan kehadiran Safi banyak memberi kesan positif kepada corak permainan Kedah, terutamanya di bahagian serangan...Safi adalah pemain yang bijak dan berkemahiran tinggi. Pemain tempatan memerlukan masa bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment