Pelumba pasukan Garmin Barracuda, David Zabrieskie (tengah) yang menjuarai ujian masa individu diapit pemenang tempat kedua dan ketiga daripada pasukan Drapac Cycling, Adam Phelan (kiri) dan Darren Lapthorne pada perlumbaan LTDL 2012 di Putrajaya semalam.
Tiada pelumba dari Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 20 pelumba terbaik pada perlumbaan hari pertama semalam dengan hanya pelumba Champion System, Muhd. Adiq Hussainie Othman muncul pelumba terbaik dengan menduduki tempat ke-41 di belakang Vinokurov.
Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2012 bersambung hari ini bermula di laluan lebuh raya dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151km melibatkan tiga zon pecutan (Salak Tinggi, Port Dickson, Linggi) dan dua zon pendakian (Bukit Pelandok dan Masjid Tanah) dengan jarak perlumbaan sejauh 151 kilometer.
Semalam, juara enam kali ujian masa individu kebangsaan Amerika Syarikat, David Zabrieskie menepati ramalan apabila menjuarai peringkat pertama dan meraih jersi kuning selaku pendahulu.
Pakar ujian masa individu yang mewakili pasukan Pro Tour, Garmin Barracuda itu menguasai acara yang mengelilingi Putrajaya sejauh 20.3 kilometer dengan melakukan catatan 24 minit 34.18 saat.
Tempat kedua milik pelumba Drapac Cycling, Adam Phelan yang ketinggalan 1:00.30s manakala rakan sepasukannya, Darren Lapthorne tempat ketiga dengan perbezaan 1:10.67s.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran The Green Hornet itu berkata, dia amat teruja dengan laluan di Putrajaya yang disifatkannya lebar dan cantik.
"Saya rasa laluan ini sangat sesuai dengan saya tetapi saya tidak pasti berapa masa yang saya catatkan sehinggalah tiba di garisan penamat," kata Zabrieskie, 33, pelumba kelahiran Salt Lake City, Utah.
Sementara itu, pelumba Astana, Dmitriy Gruzdev menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia selepas mencatat 26:07.73s manakala Mohamad Adiq Hussainie Othman yang mewakili pasukan Champion System muncul sebagai pelumba terbaik tempatan apabila menduduki tempat ke-41 dengan catatan 27:17.18s.
Perlumbaan tahun ini membuka tirainya semalam dengan peringkat pertama melibatkan saingan ujian masa individu di Putrajaya.
Meskipun saingan hari pertama itu hanya melibatkan perlumbaan di sekitar Putrajaya, namun semua mata peminat basikal tempatan mulanya tertumpu kepada pemenang empat peringkat perlumbaan Jelajah Perancis, Alexandre Vinokourov.
Pelumba Kazakhstan dari pasukan Astana itu akan turun buat kali kedua dalam LTdL dan sudah pastinya mahu membuktikan reputasi sebenarnya dalam kalangan pelumba-pelumba lain di hadapan peminat tempatan.
Begitupun, Vinokurov, 39, sedar cuaca panas di Malaysia mungkin menjadi penghalang buatnya, sekali gus menjejaskan misinya meskipun mengakui pasukannya menurunkan barisan terkuat pada LTdL 2012 ini.
“Perasaan saya gembira sekali apabila dapat kembali semula untuk berlumba di Malaysia,” kata Vinokurov.
“Ini kali kedua saya datang ke sini selepas LTdL 1997, jadi sudah tentu saya mahu mencatat pencapaian yang lebih baik pada edisi ke-17 ini.
“Begitupun, cuaca panas di Malaysia akan menambahkan lagi cabaran pada perlumbaan ini.
“Ia juga akan menyukarkan lagi misi saya untuk mencatat keputusan yang baik iaitu sekurang-kurangnya memenangi satu pering- kat perlumbaan di sini,” katanya.
Vinokourov akan dibantu oleh lima lagi pelumba dalam pasukan Astana iaitu Alexandre Dyachenko (No. 9 dalam Kejuaraan Dunia 2011), Assan Bazayev, Dimitriy Gruzdev, Valentin Iglinskiy (juara Jelajah Hainan 2010 dan 2011) serta Andrey Zeits naib juara Jelajah Turki tahun lepas.
LTdL tahun ini juga mencatat sejarah baharu apabila enam bekas juara bertahan kembali bersaing dalam satu perlumbaan yang sama dengan misi memburu gelaran kedua.
Mereka terdiri daripada juara edisi 2003, Tom Daniel- son, Freddy Gonzalez (2004), Anthony Charteau (2007), Jose Serpa (2009), Jose Rujano (2010) dan Yonnatta Monsalve yang sudah pasti ingin mempertahankan kejuaraannya tahun lepas.
Untuk rekod, hanya Paolo Lanfranchi sahaja yang berjaya memenangi kejuaraan keseluruhan LTdL sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1999 dan 2001.
Cabaran Malaysia pada kejuaraan kali ini akan digalas 13 pelumba tempatan yang akan beraksi dalam empat pasukan berbeza iaitu skuad kebangsaan Malaysia, Terengganu Pro Asia (TSG) serta pasukan Champion System dan OCBC Singapura.
Utusan Malaysia & Kosmo
No comments:
Post a Comment