Thursday, March 8, 2012

Ahmad Said Gembira Prestasi STPM Terengganu Atasi Peringkat Pusat


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam meluahkan rasa gembira kerana prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri itu mengatasi peringkat pusat.

Terengganu mencatatkan pencapaian 95.34 peratus berbanding peringkat pusat 93.96 peratus, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Kuala Terengganu.
 
Beliau berkata daripada 2,810 calon yang menduduki STPM tahun lepas, 2,679 mendapat lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.



Ini merupakan peningkatan 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Ahmad Said yang berharap Terengganu dapat mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik STPM bagi empat tahun berturut-turut.

Menteri Besar merakam penghargaan kepada pelajar, guru dan semua pihak yang berjaya membawa misi kerajaan bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

“Tahniah kepada anak-anak Terengganu, guru-guru dan semua pihak yang sentiasa memberi komitmen menjayakan pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya,walaupun keputusan yang diterima hari ini begitu membanggakan namun tidak ada istilah berpuas hati dalam dirinya kerana apa yang diinginkan ialah peningkatan dari masa ke semasa.

Tambahnya, Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat tahun ini iaitu 2.33 peratus berbanding tahun sebelumnya 2.49 peratus.

Bagaimanapun katanya, kita belum pasti sama ada dapat pertahankan kecemerlangan untuk tahun keempat berturut-turut kerana masih menunggu keputusan penuh negeri lain.

“Berasaskan keadaan semasa, saya mendapat maklumat bahawa semua keputusan bagi STPM tahun lalu menurun sedikit membabitkan semua negeri namun keputusan kita meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar menyatakan sasaran kerajaan dua peratus yang ingin dicapai dalam STPM belum terlaksana lagi.

No comments:

Post a Comment