Harrif (tengah) bersedia menggalas cabaran Malaysia sekiranya disenaraikan dalam skuad lumba basikal trek pada kejohanan dunia di Melbourne yang dijadualkan dari 4 hingga 8 April depan.
Pelumba sensasi negara, Mohd. Harrif Salleh bersedia untuk menggalas cabaran Malaysia sekiranya disenaraikan dalam skuad lumba basikal trek pada kejohanan dunia di Melbourne dari 4 hingga 8 April depan.
Harrif, 24, kini mula disebut-sebut untuk mengisi satu slot dalam acara scratch pada kejohanan itu selepas dia menunjukkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.
'Tadi (semalam) ketua jurulatih, John Beasley baru menghubungi saya dan mengarahkan saya agar bersiap sedia sekiranya nama disenaraikan,” jelas Harrif kepada Kosmo! semalam.
“Sudah pasti ia satu berita yang amat dinanti-nantikan kerana saya memang berhajat untuk beraksi pada kejohanan dunia tahun ini.
“Lagi pun, prestasi saya juga berada dalam keadaan terbaik selepas LTdL 2012, jadi sudah tentu saya bersedia menerima cabaran ini dan menggalas nama negara di Melbourne nanti,” ujarnya lagi yang memenangi tempat kedua dan ketiga dalam dua peringkat perlumbaan LTdL 2012 lalu.
Seandainya disenaraikan, Harrif akan beraksi pada kejohanan dunia buat kali kedua selepas penampilan sulung pada edisi 2008 di Manchester, England.
Meskipun sedar saingan di pentas dunia tersebut lebih sukar berbanding di rantau Asia, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu tetap berazam untuk membuktikan keupayaan sebenarnya dalam kalangan pelumba-pelumba berkelas dunia lain.
“Ini merupakan kali kedua saya beraksi pada kejohanan dunia selepas 2008 di Manchester. Jadi, saya sudah tahu bagaimana suasana sebenar saingan dalam kejohanan berkelas dunia seperti itu.
“Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik sekiranya terpilih kerana saya sedar inilah peluang untuk menilai setakat mana tahap kemampuan saya dalam kalangan pelumba bertaraf dunia lain.
“Saya tidak berani menjanjikan pingat tetapi saya berjanji akan berjuang habis-habisan kerana bukan senang untuk bersaing dalam kejohanan yang kompetitif seperti ini,” jelas Harrif.
Buat masa ini, pelumba yang juga dikenali dengan panggilan Mamat itu sedang menjalani latihan ringan bersama pasukan TSG di Terengganu.
“Selepas LTdL 2012, saya kini memasuki fasa rehat dan hanya menjalani latihan ringan bersama abang saya, Zamri dan juga pelumba TSG yang lain di sini.
“Kini semangat saya kian berkobar-kobar selepas mendapat panggilan telefon daripada John (Beasley) tadi. Saya berharap nama saya akan disenaraikan ke Melbourne nanti,” jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment