Wednesday, March 14, 2012

Irfan Tetap 'Gentleman' Walau Terima Kritikan

 Iran ketika bersama Terengganu menjulang Piala FA di Stadium Nasional.

Di sebalik kemelut yang melanda Gergasi Merah, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih bersikap 'gentleman'.

Mungkin, ramai yang sudah lupa bahawa ini bukannya kali pertama bekas jurulatih Terengganu itu terpaksa berdepan situasi sedemikian.

Meskipun begitu ramai peminat fanatik Merah Kuning dilihat semakin lantang mengecam jurulatih kelahiran Perak itu, terutamanya di laman sosial ekoran prestasi hambar Selangor setakat ini, Irfan begitupun tidak melatah dan kekal bersikap profesional.


Sebaliknya, beliau masih tenang mengendalikan latihan seperti biasa bersama anak- anak buahnya di Padang SUK, Shah Alam petang semalam sebagai persiapan menentang pasukan 'adik', Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mengambil pendekatan 'membisu seribu bahasa' daripada memberikan sebarang reaksi terhadap kecaman tersebut, diam-diam Irfan pastinya cukup bersebab sebenarnya.

Untuk rekod, Irfan pernah dikritik sebagai jurulatih 'ketinggalan zaman' oleh segelintir pihak semasa mengemudi Telekom Melaka pada musim 2007 kerana beranggapan corak permainan yang diterapkannya banyak kelemahan, terutamanya dari aspek fizikal dan mental meskipun pasukan itu memegang reputasi sebagai naib juara Liga Super musim sebelumnya.

Disebabkan itu, Irfan dikata- kan 'merajuk' lalu membawa diri ke Indonesia dan hasilnya, beliau seolah-olah 'menjawab' segala kritikan yang dilemparkan kepadanya dengan membantu kelab negara itu, Persipura Jayapura muncul juara Wilayah Timur Divisyen Satu Liga Indonesia pada tahun yang sama.

Justeru, tidak mustahil Irfan akan membuktikan kemampuannya sekali lagi kali ini asalkan peminat Gergasi Merah tetap yakin dengan kredibiliti yang dimilikinya, terutamanya ketika membantu Sang Penyu menjulang Piala FA musim lepas serta muncul naib juara Liga Super dan Piala Malaysia 2011.

Malah, Irfan juga mungkin mengambil risiko menurunkan G. Jeevananthan yang masih belum cergas sepenuhnya ketika menentang Kuala Lumpur nanti, ekoran kesilapan mudah penjaga gol, Norazlan Razali yang didakwa menjadi punca pasukan itu berputih mata setelah ditunjukkan jalan keluar oleh Johor FC dalam aksi pusi- ngan kedua Piala FA, Sabtu lepas.

Selain itu, kejayaan Gergasi Merah menundukkan peneraju liga, Kelantan dengan keputusan 1-2 di Bukit Jalil sebelum ini juga harus dijadikan azimat yang paling berguna buat anak-anak buah Irfan, namun pada masa sama tidak memandang mudah ancaman Kuala Lumpur yang diterajui Razip Ismail.

"Saya berharap pemain-pemain saya lebih bersedia dan tidak memandang rendah kepada mana-mana pasukan. "Mereka perlu bersikap lebih serius dan sentiasa menge luarkan bola dari kawasan bahaya," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selepas sembilan perlawanan, Selangor kini menghuni tangga kelapan liga dengan 12 mata, manakala Kuala Lumpur pula terperosok ke tangga tercorot apabila sekadar mengutip satu mata setakat ini.

No comments:

Post a Comment