Wednesday, March 28, 2012

Juara Piala FA - Kelantan Bertemu Terengganu Sekali Lagi Kali Ini?

Pemain Johor FC, Mohd. Haris Safwan (kanan) diasak pemain Sime Darby, Sengbah Kennedy dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Pasir Gudang, Johor, semalam. Sime Darby menang 2-1.

Pasukan Liga Perdana, Sime Darby mungkin melakukan kejutan terbesar dengan mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama selepas menumbangkan pasukan Liga Super, Johor FC dengan agregat 5-3.

Namun dengan bertemu juara bertahan Terengganu pada separuh akhir nanti, Sime Darby akan melalui laluan sukar. Terengganu mahu mengulangi kejayaan manis tahun lalu apabila menjuarai Piala FA pada pertandingan akhbar menentang Kelantan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang semalam, Sime Darby mencatat kemenangan tipis 2-1 menerusi penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kedua dan ke-20, manakala gol tunggal skuad Lebah dijaringkan Ahmad Fauzi Saari pada minit ke-75.

Pasukan bimbingan Ismail Zakaria itu turut mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Johor FC pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lepas.

Juara bertahan,Terengganu mengetuai senarai empat pasukan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing dalam suku akhir kedua, malam semalam.

Terengganu, yang juga juara Piala FA 2000 dan 2011, layak dengan agregat 1-0 ke atas Lions XII dari Singapura, walaupun mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu pada saingan suku akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Pada saingan suku akhir pertama Sabtu lepas, skuad Penyu bimbingan Mat Zan Mat Aris mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hasil jaringan Joseph Kalang Tie.

Jiran mereka, Kelantan turut mengikuti jejak yang sama selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas SPA FC menerusi jaringan Nor Farhan Mohamad pada minit ke-17 dan pemain importnya Nwoha Onyekachi pada minit ke-71 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Keputusan itu membolehkan skuad Kijang mara ke separuh akhir dengan agregat 5-0 kerana sebelum ini mereka meraih kemenangan 3-0 pada saingan suku akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, juga Sabtu lalu.

Kedah yang  turut layak ke separuh akhir Piala FA selepas menundukkan T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah akan berdepan Kelantan dan  pastinya kemenangan adalah misi mustahil untuk mereka jika berasaskan prestasi Kelatan sejauh ini.

Kerana itu ramalan perlawanan akhir adalah antara dua musuh tradisi - Kelantan dan Terengganu!

Dua gol pasukan Kenari dijaringkan pemain importnya, Mohamed Hamidan pada minit ke-64 dan 81, manakala gol saguhati pasukan tuan rumah dihasilkan Azrul Azran Amiruddin pada minit ke-68. Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu lalu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Perlawanan separuh akhir, yang turut diadakan dalam format timbal balik, akan berlangsung pada 21 April dan 1 Mei ini.

KEPUTUSAN PENUH:

 Lions XIII (0) - (0) Terengganu. (Terengganu mara ke separuh akhir dengan agregat 1-0) 

Johor FC (1) - (2) Sime Darby (Sime Darby mara ke separuh akhir dengan agregat 5-3)

Kelantan (2) - (0) SPA FC (Kelantan mara ke separuh akhir dengan agregat 5-0)

T Team (1) - (2) Kedah. (Kedah mara ke separuh akhir dengan agregat 2-1)

SEPARUH AKHIR Terengganu lawan Sime Darby Kelantan lawan Kedah

No comments:

Post a Comment