Tuesday, March 27, 2012

Polis Tingkat Kualiti Perkhidmatan Kaunter Pertanyaan

Polis Terengganu akan memfokuskan kualiti perkhidmatan di kaunter pertanyaan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa berkata, dalam usaha itu, anggota yang bertugas di bahagian kaunter pertanyaan akan diberikan kursus dari aspek peningkatan kemahiran komunikasi serta budi bahasa.


“Diharapkan dengan usaha ini, tiada lagi rungutan dan komen daripada orang awam berhubung kurangnya budi bahasa daripada anggota yang bertugas di hadapan seperti mana sebelum ini.

“Bagi kami, setiap rungutan dan komen daripada orang awam bukan hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tetapi akan dijadikan satu isu penting yang perlu dipandang serius,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam Sidang Media selepas merasmikan Perhimpunan Sempena Hari Polis ke-205 peringkat Negeri Terengganu di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, kelmarin.

Selain itu, menurut Jamshah, dalam usaha mengurangkan indeks jenayah, pihaknya memperkenalkan konsep ‘1 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), 1 Polis’ dan ‘1 Masjid, 1 Polis’ di seluruh daerah di negeri ini.

“Kami yakin dengan memperkenalkan kedua-dua konsep ini, ia bukan sahaja berjaya menurunkan indeks jenayah malah dalam masa sama, dapat menjalinkan hubungan silaturahim yang baik di antara anggota polis dan masyarakat.

 “Apabila situasi ini berjaya dibentuk, usaha menangani jenayah mampu diatasi dengan mudah kerana mendapat kerjasama daripada orang awam,” katanya.

Sementara itu, Jamshah berkata, sehingga tempoh dua bulan pertama sepanjang tahun ini, sebanyak 25 peratus kes jenayah telah berjaya didakwa di mahkamah.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment