Monday, March 5, 2012

Rayuan Bantuan Suami Terlantar


Sila telefon di talian 014-517 1231.
 
Isteri seorang bekas pengawal keselamatan, Asmah Ngah, 47, merayu simpati orang ramai khususnya tukang urut tradisional bagi membantu mengubati penyakit suaminya, Jaapar Jonit, 56, yang terlantar sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, Jaapar pernah menerima bantuan kerusi roda daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Datuk Yahya Khatib Mohamad kira-kira dua tahun lalu.


Asmah yang ditemui  di rumah di Marang, kelmarin berkata, masalah kewangan menyebabkan dia tidak mampu me-ngupah tukang urut bagi memulihkan semula keadaan suami yang tidak mampu berjalan kerana masalah tulang belakang itu.

 “Suami saya bekas askar dan menerima pencen sebanyak RM600 sebulan. Selepas dia jatuh sakit, kami menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.

“Jika dicampur dengan wang pencen jumlah itu mungkin agak besar tetapi hakikatnya ia hanya cukup bagi menampung perbelanjaan keluarga, menyediakan keperluan suami dan kegunaan lima anak yang masih lagi belajar,” katanya.

Menurutnya, kesemua wang yang ada termasuk yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak itu juga kadangkala terpaksa digunakan untuk menampung perbelanjaan lain seperti membeli lampin pakai buang dan membeli ubat-ubatan suaminya.

“Saya dan anak terdesak serta terpaksa menggunakan semua sumber kewangan yang ada kerana ingin melihat suami dapat berjalan semula tetapi masih tidak mampu. Lebih perit apabila suami terpaksa memakai lampin pakai buang sejak beberapa bulan lalu

“Dia terjatuh dalam bilik air Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, Kuala Terengganu ketika membuat rondaan dua tahun lalu. Sudah hampir dua tahun juga dia terlantar sebegitu namun kami masih menaruh harapan agar dia dapat berjalan semula,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment