Penyokong setia pasukan Terengganu sudah pasti tidak mahu kejadian pemain mengatur perlawanan. |
Beliau berkata pasukan Terengganu bersih dan bebas dari masalah berkaitan rasuah atau mengatur perlawanan seperti yang didakwa sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan moral dan semangat pemain negeri ini.
"Perkara ini dibangkitkan oleh sesetengah pihak apabila melihat prestasi pasukan Terengganu tidak menentu dalam saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
"Janganlah orang luar buat tanggapan negatif seolah-olah hendak menggugat prestasi pasukan kita," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.
Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata beliau yakin pemain Terengganu tidak terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan.
Laporan sebuah akhbar tabloid baru-baru ini menyebut ada sesuatu yang tidak kena dengan kemenangan 1-0 Terengganu ke atas Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Melaka, Sabtu dua minggu lalu.
Persembahan skuad Penyu dilihat terlalu pincang dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ingin memastikan Terengganu tidak terbabit dengan gejala rasuah bola sepak.
Bercakap di majlis Bicara Menteri Besar Terengganu Bersama Media di Kuala Terengganu minggu lalu, Ahmad Said berkata, pengurusan persatuan perlu meneliti sebab juara Piala FA musim lalu itu bermain hambar dan cuma menang satu gol ke atas pasukan belasahan Liga Super musim ini.
“Walaupun kita menang malam itu, saya dan ramai lagi penyokong pasukan kecewa melihat persembahan Terengganu yang gagal menunjukkan permainan sebenar, seolah-olah ada yang tidak kena. Demi masa depan pasukan, pegawai dan pengurusan perlu mencari punca sebenar kepincangan mereka dan kita mesti pastikan yang persembahan buruk itu tiada kena-mengena dengan rasuah bola sepak,” katanya.
Ahmad Said berkata, sebelum ini pegawai persatuan ada memberitahunya mengenai beberapa masalah yang timbul berikutan pengambilan pemain import.
“Ada kedengaran timbulnya beberapa puak dalam pasukan, termasuk pemain tempatan yang kurang senang dengan import. “Ada juga kedengaran, pemain import mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan pemain tempatan dan mungkin ini boleh menjadi punca mereka tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Namun apapun masalahnya, penyelesaian perlu dicari segera,” katanya.
Menurutnya, bagi kedua-dua pasukan, Terengganu dan T-Team, pemilihan pemain import perlu dilakukan dengan lebih sempurna untuk mengelak daripada membuat pilihan kurang tepat.
T-Team tersilap pilih apabila mengambil penyerang Zambia, Zachariah Simukonda dan akhirnya pemain itu terpaksa ditamatkan kontrak dan hingga kini pasukan itu terpaksa bermain dengan seorang pemain import.
“Kita tidak boleh terlalu mengharapkan ejen pemain saja kerana majoriti tidak memberitahu perkara sebenar terutama berkaitan kecederaan pemain.
Sepatutnya, pemilihan dibuat di negara asal pemain supaya kualiti mereka dapat dinilai secara dekat dan disahkan pelbagai pihak di sana,” katanya.
Ahmad Said juga menegaskan pemain import mestilah berkualiti tinggi dan pasukan tidak perlu risau sekiranya harga pemain yang ingin dimiliki terlalu mahal.
“Saya sudah berkali-kali mengatakan yang kerajaan negeri sanggup membayar gaji walaupun RM100,000 sebulan asalkan pemain yang diambil betul-betul berkualiti dan dapat membantu mencapai kejayaan,” katanya.
Tahun lalu, Terengganu dan T-Team masing-masing menerima kira-kira RM3.5 juta daripada kerajaan negeri dan untuk musim ini, jumlah penajaan dijangka bertambah kerana adanya pemain import serta Terengganu bersaing dalam Piala AFC.
No comments:
Post a Comment