Thursday, March 15, 2012

Ugut Bunuh Ayah Dengan Cota Kena Denda RM2,000

Entah apa nak jadi, seorang anak sanggup mengamuk dan mengugut untuk membunuh ayahnya sendiri dalam satu kejadian pada 6 Mac lalu di Wakaf Dua, Bukit Payong, Marang.

Bagaimanapun, tindakannya itu akhirnya terbalas apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh, Mohd Shaheri Mamat, 27, yang bekerja sebagai mekanik itu bersama seorang lagi rakannya telah ke rumah ayahnya, Mamat Mohd Nor, 52, di Kampung Kubang Ikan, di Kuala Terengganu pada 6 Mac lalu kira-kira jam 1.30 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang dalam keadaan marah telah membuat bising di luar rumah ayahnya, sambil membawa cota. Tertuduh kemudiannya menyuruh ayahnya keluar, namun dia enggan kerana takut diapa-apakan.

Berang dengan sikap ayahnya itu, dia dan rakannya memukul pintu cermin rumah dengan cota dan mengugut ingin membunuh ayahnya.

Ayahnya kemudian memberanikan diri lalu mengambil parang dan bertindak mengejarnya.

Terkejut dengan reaksi ayahnya, kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri. Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahannya pada 8 Mac lalu, kira-kira jam 1.10 pagi di sebuah bengkel di Wakaf Dua, Bukit Payong.

Dia dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya, di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara selama dua bulan jika gagal membayarnya. Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut dengan bantuan rakannya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment