Saturday, April 28, 2012

Adiq Harap Isi Satu Daripada 2 Slot Ke Olimpik London


Keputusan mengenai dua pelumba lebuh raya ke Sukan Olimpik 2012 London masih belum diumumkan lagi, namun pelumba negara, Mohd. Adiq Hussainie Othman sudah merencana beberapa program untuk memantapkan dirinya sekiranya menjadi salah seorang pelumba mengisi slot tersebut.

Menurut pelumba pasukan benua profesional, Champion System itu, setakat ini dia masih belum berpuas hati dengan persiapan yang dibuat dan perlu mencari atau melakukan program yang lebih mantap termasuk menyertai perlumbaan di Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada.


"Ketahanan mental menjadi asas kepada persiapan saya menjelang saingan Sukan Olimpik, apa yang saya tahu laluan di London nanti begitu sukar dan panjang, sekarang ini saya hanya mempunyai tiga bulan sahaja untuk mempersiapkan diri," katanya.

Jelas pelumba berusia 21 tahun itu, sekiranya berjaya terpilih untuk mewakili negara pada Sukan Olimpik yang bermula Julai ini, dia bertekad memberikan keputusan cemerlang sekali gus menggembirakan rakyat Malaysia.

Adiq merupakan calon pilihan untuk mengisi dua slot yang diperolehi skuad lebuh raya pada temasya yang dianjurkan empat tahun sekali itu, kehebatannya terserlah selepas memenangi pingat perak bagi kategori bawah 23 tahun lebuh raya pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Februari lalu.

Sekiranya Adiq terpilih satu lagi slot bakal menjadi rebutan antara beberapa nama besar bagi acara lebuh raya termasuk jaguh pecut yang juga rakan sepasukan Adiq dalam Champion System, Anuar Manan, pelumba Drapac Professional, Amir Mustafa Rusli dan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata, walaupun Adiq dianggap sebagai pelumba pilihan untuk mewakili negara di Olimpik tetapi keempat-empat pelumba terbabit masih mempunyai peluang.

"Nama pelumba akan dihantar sebelum Jun ini dan dalam masa yang sama kita cuba melihat prestasi Adiq dari masa ke semasa manakala seorang lagi pelumba adalah pelumba domestik yang mampu membantunya dalam perlumbaan.

"Makna bantu di sini ialah, bukan hanya di peringkat pecutan, malah di peringkat pendakian, seterusnya membolehkan Malaysia menduduki tempat yang baik dalam perlumbaan tersebut," katanya.

Tambahnya, hasil perbincangan bersama ketua jurulatih, John Beasley, Adiq diberikan keutamaan berdasarkan pencapaian dan kemampuan yang mampu mengharungi laluan sukar di Olimpik sejauh 250 kilometer yang akan bermula dan berakhir di The Mall, London.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment