Wednesday, April 18, 2012

Azizulhasni Hampiri Puncak Prestasi Menjelang Olimpik 2012


Jaguh keirin negara, Mohd. Azizulhasni Awang yakin dia mampu berada di kemuncak prestasi menjelang Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Situasi tersebut sekali gus memberi bayangan awal betapa pelumba yang mendapat gelaran The Pocketrocketman itu berpeluang meraih pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya di London nanti.


Pada Kejohanan Trek Dunia 2012 di Melbourne, awal bulan ini, Azizulhasni, 24, terkandas pada peringkat separuh akhir acara keirin dan menduduki tempat ke-27 bagi acara pecut.

Meskipun mengakui prestasinya hanya berada pada tahap 80 hingga 90 peratus pada kejohanan tersebut, Azizulhasni tetap optimis dia telah bersedia sepenuhnya menjelang temasya Olimpik di London.

"Sebenarnya tahap prestasi saya masih belum seratus peratus ketika beraksi pada Kejohanan Dunia baru-baru ini.

"Namun bagi saya, persembahan di Melbourne itu adalah yang terbaik pernah saya tunjukkan sejak kembali beraksi daripada rehat panjang ekoran tertusuk serpihan kayu trek ketika beraksi pada Siri Piala Dunia Trek Klasik di Manchester tahun lepas.

"Kini saya bertambah yakin untuk meningkatkan prestasi dan kayuhan saya sebelum Sukan Olimpik nanti.

"Jurang masa selama tiga bulan ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk memulakan latihan supaya saya akan mencapai kemuncak prestasi di London," ujar Azizulhasni ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut menjelaskan bahawa misinya di London masih lagi sama iaitu menghadiahkan kilauan emas pertama buat Malaysia meskipun banyak pihak kini mula mempersoalkan kemampuan sebenarnya.

Justeru, Azizulhasni menyifatkan kegagalannya pada Kejohanan Dunia 2012 baru-baru ini bukan gambaran awal tentang keazaman dan potensi sebenarnya dalam merealisasikan hajat tersebut.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment