Sunday, April 15, 2012

BOTR Berita Harian Ke Peringkat Antarabangsa?



"Untuk BOTR 2012, hadiah wang RM15,000 disediakan untuk pemenang tempat pertama, RM10,000 untuk tempat kedua, RM5,000 untuk tempat ketiga, RM2,000 untuk tempat keempat dan RM500 masing-masing untuk tiga penerima hadiah saguhati." - Ahmad A Talib

Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mengembangkan acara tahunan “Boat On The Road (BOTR)” anjuran Berita Harian ke peringkat antarabangsa tahun depan, sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2013.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan Berita Harian dalam penganjuran BOTR 2012 akan dijadikan sebagai permulaan kempen Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Setakat ini difahamkan program BOTR 2012 Kenyir, Terengganu sudah menerima 70 penyertaan. Bagi pihak kerajaan negeri, ini adalah peruntukkan termahal dan terbanyak disediakan dengan nilai hadiah keseluruhan mencecah RM100,000,” katanya ketika ditemui Berita Harian Online, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tajaan BOTR 2012 kepada Berita Harian di Balai Berita, Bangsar. BOTR 2012 Kenyir, Terengganu yang bertemakan ‘Memancing Sambil Santai’ akan diadakan selama tiga hari bermula 20 April ini.

Sebanyak 30 kenderaan pacuan empat roda peserta yang terpilih akan berkumpul di perkarangan Sri Pentas TV3 sebelum dilepaskan menyertai konvoi kecil ke Kenyir pada sebelah pagi, Jumaat depan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, berkata BOTR 2012 yang diadakan untuk tahun ketiga mensasarkan 100 penyertaan kenderaan pacuan empat roda bersama bot.

Katanya, menerusi program BOTR, Berita Harian adalah pemangkin kepada pertumbuhan industri memancing di Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia yang kaya dengan destinasi memancing diharapkan dapat menarik minat pengunjung luar negara bagi menikmati keindahan alam semula jadi di negara ini.

“Kelainan yang diketengahkan pada BOTR 2012 adalah peserta tidak akan menginap di hotel seperti tahun lalu, sebaliknya mereka akan bermalam di dalam bot.

“Lebih menarik lagi, apabila konvoi tiba di Kenyir pada hari pertama, peserta bersama pihak penganjur akan menyertai kenduri rakyat pada sebelah malamnya yang diadakan bertujuan merapatkan hubungan antara penduduk tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment