Tuesday, April 3, 2012

Jangan Terpedaya Tipu Helah Ah Long

Orang ramai di negeri ini diingatkan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana syarikat pinjaman berlesen untuk membuat sebarang pinjaman sebaliknya mendapatkan pinjaman di institusi kewangan atau koperasi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Usahawan Datuk Mohamed Awang Tera.

Beliau berkata ini kerana syarikat pinjaman dikhuatiri didalangi ah long yang berselindung di sebalik syarikat pinjaman berlesen.


Katanya walaupun Terengganu tidak ada rekod kes seumpamnya, pihaknya tidak mahu orang ramai di negeri itu terpedaya dengan tipu helah ah long.

"Kebiasaanya mereka yang memerlukan akan membuat pinjaman dengan mana-mana syarikat pinjaman berlesen untuk memulakan sesuatu pernigaan kerana mudah untuk memperoleh pinjaman itu tanpa banyak syarat yang dikenakan.

"Namun setelah mendapat pinjaman dan ketika hendak membayar balik, baru mereka sedar dan dapat mengesan taktik yang digunakan oleh ah long di sebalik pinjaman berlesen," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Ar-Rahnu Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (Kokitab) di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengarah Suruhjaya Koperasi Malaysia Terengganu, Osman Ismail dan Pengerusi Kokitab Terengganu Alias Mustafa. Menyentuh hal lain, Mohamed menyarankan sektor koperasi agar menerokai bidang minyak dan gas, kelapa sawit dan bidang hartanah bagi meningkatkan sumber pendapatan.

Katanya bidang-bidang seumpama itu mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi serta membawa pulangan menguntungkan.

No comments:

Post a Comment