Wednesday, April 4, 2012

JHEAT Buat Pelupusan Abu Al-Quran Di Tengah Laut Esok

Gambar Hiasan - Membuang abu al-Quran ke laut.
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan membuat pelupusan abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks al-Quran di tengah laut esok (5 April).

Penolong Pegawai Penyelidikan JHEAT Noor Huda Ismail berkata kerja-kerja pelupusan abu al-Quran itu akan disempurnakan oleh pegawai daripada Jabatan Mufti negeri dan pegawai JHEAT.


"Pelupusan ini bukan boleh dibuat secara sembarangan. Kita akan membuat pelupusan itu mengikut lunas-lunas yang diizinkan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Noor Huda berkata kira-kira 200 buah al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang uzur dan tidak digunakan telah dibakar sejak tahun lepas di Kuala Terengganu.

Katanya bahan-bahan bercetak yang telah rosak tersebut diterima oleh JHEAT sama ada daripada masjid, orang perseorangan dan juga sekolah-sekolah.

Noor Huda berkata satu alat pembakar khusus digunakan untuk proses pembakaran itu supaya habuknya tidak bertaburan. "Kita ada lebih kurang 100 karung plastik abu al-Quran untuk dilupuskan nanti," katanya.

Sehubungan itu pihaknya bersedia menerima pertolongan daripada orang ramai untuk melupuskan bahan-bahan percetakan mengandungi ayat-ayat al-Quran yang tidak digunakan.

Pelupusan abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi ayat-ayat al-Quran itu merupakan yang pertama kali dilakukan oleh JHEAT pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment