Monday, April 16, 2012
Karnival Profesor Turun Padang Dekati Masyarakat
Majlis Profesor Negara (MPN) mendekati masyarakat di Kuala Terengganu kelmarin melalui program Karnival Profesor Turun Padang sempena Mesyuarat Penyelarasan 2012.
Kampung Gong Tok Nasek di pinggir bandar raya ini yang terkenal dengan kegiatan menenun songket, mencanting batik dan membuat wau dipilih sebagai kampung angkat MPN dan tapak lokasi karnival itu. Karnival bertemakan Ilmu Teras Jalinan Masyarakat itu yang dijayakan dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula malam kelmarin.
Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, karnival itu memberi kesempatan terbaik kepada masyarakat terutama golongan muda untuk mendalami apa jua bidang ilmu secara terus daripada seorang profesor.
“Inilah masa sesuai bagi golongan muda mendalami ilmu yang diminati, mendapatkan pandangan atau nasihat di samping mengenali profesor dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui semasa di tapak karnival kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPN, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Datuk Che Mat Jusoh.
MPN, gabungan kepakaran profesor dari seluruh institusi pengajian tinggi yang dilancarkan pada 1 April 2010 berperanan membantu kerajaan dengan menyumbangkan input dalam pelbagai bidang khususnya untuk memperkukuhkan asas penggubalan dasar negara.
Beliau berkata, dengan jumlah ahli MPN ketika ini yang mencecah 1,700 orang di seluruh negara, peluang itu semakin terbuka luas khususnya setiap kali cendekiawan turun padang.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival itu adalah tayangan video, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah serta pameran daripada 14 kluster atau bidang ilmu yang diketuai oleh beberapa orang profesor.
Semalam, MPN bersama dalam program Profesor Negara Bersama Pelajar di Wisma Darul Iman manakala pada Isnin, MPN melakukan lawatan penyelidikan di Tasik Kenyir.
No comments:
Post a Comment