Kira-kira 3,000 pemimpin dan ahli koperasi dari seluruh negeri akan menghadiri majlis Himpunan Koperator 1Terengganu di Stadium Negeri, pada jam 3 petang, 12 April depan.
Program yang julung kali diadakan itu bertujuan melahirkan penghargaan dan terima kasih para peserta yang menyertai koperasi, kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang selama ini banyak membantu memajukan koperasi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said akan merasmikan program tersebut dan menyampaikan ucaptama kepada seluruh pemimpin dan koperasi yang mewakili 492 organisasi berkenaan.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terenganu, Encik Osman Ismail, berkata pihaknya amat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab mengendalikan program tersebut dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Program ini bertujuan menyediakan wadah kepada pemimpin dan ahli koperasi di seluruh negeri untuk bertukar-tukar pandangan bagi memajukan koperasi masing-masing.
“Ia juga bertujuan merapatkan silaturahim antara pemimpin dan ahli koperasi yang sebelum ini amat jarang bertemu muka kerana kesibukan masa dan jarak yang jauh antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Bandar Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan maklumat secara lebih jelas kepada ahli-ahli koperasi mengenai kepentingan penubuhan koperasi dan peluang sedia ada bagi memperbesarkan perniagaan mereka.
Sempena program tersebut, pihak SKM turut menganjurkan pameran dan ruang niaga kepada usahawan kecil untuk memasarkan produk masing-masing kepada orang ramai di perkarangan stadium berkenaan.
Pada majlis itu juga, pihak SKM juga akan menyampaikan cek-cek pinjaman perniagaan kepada koperasi-koperasi yang berjaya memohon pinjaman berjumlah RM18.3 juta bagi memperbesarkan perniagaan masing-masing.
No comments:
Post a Comment