Polis Terengganu berjaya menumpaskan satu kumpulan curi kabel yang melibatkan kerugian hampir RM50,000 dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk seorang peniaga barangan lusuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superitendan, K. Manoharan berkata, hasil maklumat awam, serbuan pertama dilakukan pada kira-kira 3.30 pagi Selasa lalu dan seorang buruh binaan berusia 44 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah diKampung Tok Dir Kuala Terengganu.
Katanya, pelbagai jenis kabel yang belum diasingkan serta longgakan kulit kabel yang dipercayai telah diproses ditemui di rumah itu.
"Kesemua kabel itu adalah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia yang dipercayai dicuri dari sebuah stor penyimpanan di Chendering," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Manoharan berkata, hasil penahanan lelaki itu seterusnya membawa kepada tangkapan kedua membabitkan seorang lagi pencuri kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama.
"Lelaki kedua yang berusia 40 tahun itu ditangkap pada pukul 4.15 pagi hari yang sama di Kampung Tok Pong, Pengadang Buloh, Chendering dan suspek juga bekerja sebagai buruh binaan," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan daripada kedua-dua lelaki itu, polis seterusnya berjaya menjejaki seorang peniaga barangan lusuh berusia 49 tahun diKampung Paya Resak kira-kira pukul 1 tengah hari, hari yang sama.
Hasil siasatan polis, peniaga itu didapati membeli wayar dan kabel-kabel yang telah dicuri untuk dijual semula, katanya.
Polis juga merampas beberapa gulung wayar tembaga seberat hampir 10 kilogram yang ditemui di premis milik suspek, kata Manoharan.
No comments:
Post a Comment