Sunday, April 22, 2012

Separuh Akhir Kedua Piala FA - Terengganu, Kelantan Berdepan Tugas Getir

Pemain Terengganu, Abd. Shukor (kiri) mengawal bola daripada asakan pemain Sime Darby, Kamarul Afiq pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,  malam semalam.

Dua pasukan gergasi Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan menggalas tugas berat untuk melangkah ke final Piala FA apabila gagal memiliki kelebihan gol selepas saingan separuh akhir pertama malam semalam.

Pada perlawanan timbal balik separuh akhir pada 1 Mei ini, Kelantan akan bertandang ke Stadium Darul Aman di Alor Setar manakala Terengganu pula ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


Terengganu, bekas juara pada 2000 dan 2011, dikejutkan di gelanggang sendiri apabila kalah 1-2 kepada pasukan kelab Sime Darby FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kelantan pula gagal mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila hanya mampu terikat 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Sime Darby - pasukan berstatus kelab, melakukan kejutan apabila turun sebagai pasukan bukan pilihan berada di depan pada minit ke-52 hasil jaringan pemain import dari Liberia, Patrick Ronaldinho yang melakukan rembatan menewaskan penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alwi.

Keputusan berubah pada minit ke-65 apabila penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe (gambar kanan) berjaya menyamakan kedudukan hasil hantaran Joseph Kalang Tie dengan melakukan rembatan deras di hadapan pintu gol lawan.

Pada masa kecederaan pasukan pelawat sekali lagi berada di depan dan berjaya membawa pulang bekalan gol menjelang perlawanan separuh akhir kedua selepas memperoleh jaringan kedua melalui Syukor Saidin.

Sementara itu, di Stadium Sultan Muhammed IV, Kelantan gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan Kedah seterusnya menghalang hasrat mereka untuk membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Star pada perlawanan separuh akhir kedua.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berada di depan pada minit ke-21 apabila melakukan serangan yang dicaturkan kapten pasukan, Badri Radzi sebelum melakukan hantaran kepada Nor Shahrul Idlan Talaha yang berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang.

Gol tersebut memberikan semangat kepada hampir 20,000 penyokong mereka yang sangat merindui aksi penyerang kesayangan mereka itu selepas terlepas beberapa perlawanan sebelum ini akibat kecederaan.

Kegembiraan tersebut bagaimanapun hanya bertahan selama sembilan minit apabila import baru Skuad Kenari, Vedran Gerc berjaya menjaringkan gol yang mungkin boleh dikategorikan sebagai gol terbaik musim ini pada minit ke 30.

Sebaik sahaja menerima hantaran kaptennya, Badrol Bakhtiar, dalam kawasan sendiri, Gerc yang dikawal rapat dua pertahanan Kelantan, Obinna dan S. Subramaniam nampaknya tidak menghadapi masalah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bermain 10 orang apabila Wan Mohd. Sukri dan Mohd. Daudsu Jamaluddin masing-masing dilayangkan kad merah pada minit ke 70 dan 72

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berkenan mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

No comments:

Post a Comment