Thursday, April 12, 2012

Skuad Pelumba Wanita Perlukan Transformasi Untuk Bersaing

Skuad lebuh raya wanita negara harus melalui proses transformasi dalam masa terdekat andai mahu menyaingi kehebatan pelumba Thailand, Indonesia dan Vietnam yang jelas memiliki kekuatan tersendiri.

Mengambil contoh Thailand dan Vietnam yang mempunyai perlumbaan jelajah wanita berdaftar dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu segera melakar pelan tindakan bagi memastikan pelumba wanita negara tidak tenggelam dalam aksi di pentas Asia Tenggara.


Berdasarkan aksi pada Jelajah Thailand 2012 yang berakhir kelmarin, kayuhan barisan pelumba wanita negara ketika menyaingi lawan dari Thailand, Indonesia dan Vietnam jelas sekadar di peringkat memuaskan.

Itulah rumusan daripada Mohd. Hardi Razali - bekas pelumba negara yang pernah bersaing pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL). Hardi yang dipinjamkan dari Institut Sukan Negara (ISN) untuk membantu skuad trek dan lebuh raya berkata, PKBM perlu bertindak segera sebelum ketiga-tiga negara tersebut lebih jauh meninggalkan Malaysia.

"Pada peringkat permulaan, kita boleh mengadakan siri jelajah wanita dalam skala yang sederhana. Tidak perlu secara besar-besaran seperti Jelajah Malaysia atau LTdL.

Yang penting, kita perlu anjurkan perlumbaan jelajah seperti Thailand dan Vietnam. "Secara tidak langsung, kita boleh menyediakan platform kepada pelumba wanita untuk bersaing di pentas sendiri.

Apa yang saya lihat, pelumba wanita Thailand dan Vietnam sangat berbangga dengan siri jelajah di negara mereka.

"Mungkin pihak PKBM boleh adakan jelajah dua atau tiga peringkat, melibatkan dua atau tiga negeri yang berdekatan seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan atau Melaka," katanya mempunyai sijil kejurulatihan Tahap 2 UCI.

Dalam masa yang sama, Hardi berkata, PKBM perlu segera melantik jurulatih khusus untuk skuad lebuh raya wanita.

"Saya percaya jurulatih itu mempunyai banyak tugasan untuk meningkat kualiti kayuhan pelumba wanita," katanya. Masziyaton Mohd. Radzi muncul pelumba terbaik Malaysia pada Jelajah Thailand 2012 apabila menduduki tempat ke-26 individu keseluruhan.

No comments:

Post a Comment