Tabung Penyakit Kronik yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu sejak 2010 lalu sudah memberi manfaat kepada 509 pesakit yang menderita pelbagai penyakit berbahaya dan memerlukan perhatian segera.
Jumlah itu termasuk 122 permohonan yang telah diluluskan sepanjang tiga bulan pertama bagi tahun ini dengan melibatkan kos lebih RM374 ribu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata tabung itu diwujudkan atas kesedaran kerajaan melihat pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan.
“Rayuan-rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri.
“Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan di dada akhbar tempatan dan media elektronik bagi mendapat belas kasihan dan simpati orang ramai,” katanya ketika pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-12, pada hari kedua,semalam.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun menyediakan berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun skim dan bantuan itu dalam kadar maksimum dan agak terhad.
“Menyedari kelemahan itu kerajaan mengambil langkah segera dengan menubuhkan tabung berkenaan yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat yang layak dan boleh memohonnya melalui pemimpin di kawasan masing-masing,” katanya.
Dr A Rahman turut memberitahu, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi lain telah melakukan pelbagai program tranformasi semata-mata mahu memupuk semangat tolenrasi, kerjasama dan sepakat antara pelbagai bangsa dan kaum.
“Program yang diwujudkan itu, termasuk program rukun tetangga, Kelab & Sekretariat Rukun Negara, minggu perpaduan, debat perpaduan, lawatan intergrasi dan pelbagai program bersama masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment