Wednesday, April 18, 2012

Terengganu Belum Sedia Mengredkan Keropok Lekor

Kerajaan negeri Terengganu belum bersedia untuk mengkelaskan keropok lekor kepada gred-gred tertentu kerana ia tidak sesuai dilaksanakan berikutan selera pengguna adalah berbeza.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata walaupun tindakan menggredkan keropok lekor itu akan memudahkan pelancong asing membeli makanan popular Pantai Timur itu, banyak faktor perlu diambil kira sebelum melaksanakannya.


"Ia bukan mudah. Selera manusia tidak sama. Jika kita meletakkan lima bintang di lokasi A, mungkin ada yang berpendapat keropok lekor di situ tidak begitu sedap berbanding yang dijual di lokasi B, sedangkan lokasi B kerajaan negeri hanya memberinya gred tiga bintang.

"Walaupun langkah untuk menggredkan keropok lekor ini bagus, pada dasarnya ia tidak mudah dilakukan," katanya ketika sesi soal jawab bersama anggota Majlis Profesor Negara (MPN) di Wisma Iman di Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Keropok lekor yang diperbuat daripada ikan dan tepung sagu itu adalah makanan tradisi yang popular bagi masyarakat di Terengganu dan merupakan antara juadah tarikan utama pelancong ke negeri in.

No comments:

Post a Comment