"Hasil tangkapan semakin berkurang dan ini menjejaskan pendapatan
bulanan golongan nelayan, jadi kerajaan terpaksa mengambil inisiatif
baru untuk membasmi kemiskinan dengan menyediakan sumber ekonomi baru
untuk mereka terokai sebagai pendapatan sampingan...Kerajaan
Negeri akan menyediakan satu unit rumah untuk setiap keluarga, dan kita akan
pantau projek ternakan atau penanaman buah-buahan seperti tembikai,
supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan" - Ahmad Said
Langkah pertama adalah sangat penting sebagai permulaan kepada langkah seterusnya!
Nelayan perlu dibela dan janji perlu dikotakan. Mentransformasikan kehidupan mereka adalah suatu ibadah dan tugas mulia.
Malah, usaha membasmi kemiskinan tidak ke mana-mana jika dilakukan melalui kata-kata atau 'janji air liur'. Ia perlu tindakan berani agar kemiskinan dapat diatasi.
Untuk melakukannya, mesti ada perancangan dan ia hendaklah sesuai dengan keadaan setempat. Manifesto semata-mata tidak akan membaawa sebarang perubahan.
Gambar Hiasan - nelayan Dungun akan ditransformasikan daripada bergantung kepada tangkapan semata-mata. |
Kerana itu, Kerajaan negeri Terengganu akan membuka kawasan penempatan baru kepada nelayan di daerah Dungun untuk memberi mereka peluang menambah pendapatan melalui bidang ternakan dan pertanian, selain menjadi nelayan tetap.
Projek pemindahan nelayan ke kawasan penempatan baru seluas 24 hektar di Rantau Abang, Dungun, akan menjadikan nelayan bukan sekadar bergantung kepada hasil tangkapan tradisi.
Projek pemindahan nelayan ke kawasan penempatan baru itu akan dijadikan projek perintis di Terengganu dan dijangka bermula Jun tahun ini.
Nelayan yang berpindah ke penempatan itu dijangka dapat memperoleh pendapatan bulanan RM1,200 hingga RM1,500 hasil pertanian dan penternakan.
Mereka juga akan terbabit secara langsung dalam kegiatan ekonomi baru untuk menampung pendapatan bagi menyara keluarga.
Walaupun usaha ini bukan mudah tetapi Kerajaan Negeri perlu memperkenalkannya sebagai projek perintis untuk menyakinkan nelayan negeri ini tidak hanya bergantung kepada sumber tradisi.
Bagi menjayakannya, kerajaan negeri mendapatkan kerjasama kerajaan Pusat untuk pembiayaan sebanyak RM23 juta.
"Hasil tangkapan semakin berkurang dan ini menjejaskan pendapatan bulanan golongan nelayan, jadi kerajaan terpaksa mengambil inisiatif baru untuk membasmi kemiskinan dengan menyediakan sumber ekonomi baru untuk mereka terokai sebagai pendapatan sampingan.
"Kerajaan akan menyediakan satu unit rumah untuk setiap keluarga, dan kita akan pantau projek ternakan atau penanaman buah-buahan seperti tembikai, supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan di Kijal di Kemaman, kelmarin.
No comments:
Post a Comment