Seorang warga emas tidak menduga, kisah kesempitan hidupnya yang tersiar di akhbar komuniti Sinar Harian sebelum ini, akhirnya mendapat pembelaan sewajarnya, apabila pihak berkaitan tampil menyelesaikan kemelut dihadapi.
Lebih menggembirakan, impian Che Wook Muda, 82, dan isteri, Wan Wook Deraman, 75, untuk menikmati kehidupan yang lebih baik daripada bantuan kerajaan diterima menjadi kenyataan, apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah (JKM) telah menaikkan bantuan sara hidupnya daripada RM200 sebulan kepada RM500 sebulan.
Segalanya diketahui pasangan terbabit sebaik dia mendapati wang dalam akaunnya bertambah, ketika dia hendak mengeluarkan wang di sebuah bank di bandar Dungun, kira-kira tiga bulan lalu.
Katanya, pada masa itu dia benar-benar terkejut kerana mendapati wang dalam akaunnya bertambah berlipat kali ganda berbanding biasa.
Che Wook berkata, dia bersyukur atas pertambahan sumbangan tersebut kerana sebelum ini dia terpaksa membuat catuan terhadap perbelanjaan harian susulan wang JKM yang diterima sejak lebih 10 tahun lalu itu hanya cukup untuk membeli barangan keperluan sahaja.
“Terima kasih JKM kerana prihatin dengan masalah dihadapi, biarlah pak cik tak dapat bantuan atap rumah asalkan wang JKM ini dapat lebih sedikit.
“Sekurang-kurangnya boleh buat belanja beli beras dan keperluan lain, selebihnya boleh buat simpanan untuk sakit demam,”kata Che Wook.
Menurut Wook, dia sudah lama mengimpikan untuk mendapat bantuan sebanyak itu, namun ia sekadar angan-angan sehinggalah kisah hidupnya itu disiarkan di akhbar ini.
“Sebaik kisah pak cik masuk surat khabar, pegawai JKM terus datang ke rumah dan ambil maklumat daripada pak cik.
“Selepas itu, pak cik dapati wang dalam akaun bertambah, terima kasihlah sebab surat khabar ini telah banyak membantu pak cik,” katanya.
Wook yang tiada sumber pendapatan sebelum ini difahamkan berhadapan kesempitan hidup ekoran wang bantuan diterima daripada pihak JKM tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidupnya.
Selain itu, bekas nelayan pantai itu juga turut menyatakan rungutan ekoran permohonannya untuk mendapatkan bantuan atap rumah serta membaiki pondok usangnya dipercayai dipandang sepi oleh pihak berkaitan.
Namun kemelut dihadapi warga emas berusia tiga suku abad itu terungkai selepas kisahnya tersiar di akhbar ini.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment