Thursday, April 26, 2012
Tiga Pemilik Premis Jual DVD Haram Tidak Serik
Tidak pernah serik!
Walaupun sebelum ini pernah diserbu dan dikenakan tindakan undang-undang, namun bagi tiga pemilik premis menjual cakera video digital (DVD) di sekitar bandar raya di Kuala Terengganu, tidak pernah menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran, malah masih berdegil untuk meneruskan operasi haram itu.
Kedegilan mereka terbukti setelah Bahagian Penguat kuasa (Kementerian Dalam Negeri) Terengganu berjaya merampas sebanyak 7,03 keping DVD yang dianggarkan bernilai RM7,030 dalam operasi yang dijalankan serentak melibatkan ketiga-tiga premis berkenaan, kelmarin.
Pengarahnya, Mahdini Mustapa berkata, dalam operasi yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu, pihaknya menahan tiga pekerja masing-masing dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 42 tahun untuk membantu siasatan.
“Operasi yang bermula jam 12.30 tengah hari itu diketuai Mohd Nor Hitam bersama 12 anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan mengejut yang berjalan serentak ke atas ketiga-tiga premis berkenaan.
“Semasa serbuan, ketiga-tiga pekerja yang sedang menjaga premis berkenaan tidak bertindak agresif walaupun dilihat agak terkejut dengan kehadiran kami sebelum akur dengan arahan yang diberikan,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Terengganu, kelmarin.
Mahdini berkata, kebanyakan DVD pelbagai tajuk filem tempatan dan antarabangsa itu tidak mempunyai sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem.
Menurutnya, kesemua rampasan itu akan disiasat mengikut Seksyen 18 (4) (a) Akta Penapisan Filem 2002 kerana tidak mempunyai sijil perakuan B dan berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak kurang tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Kita memandang serius isu ini. Sebelum ini, kita banyak memberikan nasihat dan amaran sahaja kepada pemilik premis tetapi mereka seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila berterusan menjual pelbagai DVD filem ini secara terbuka.
“Selain pemantauan dan operasi berterusan, orang ramai turut dialu-alukan menyalurkan maklumat berhubung penjualan berkenaan kepada kami bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan menghubungi talian 09-6301111,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment