Tuesday, May 1, 2012

63 Pelajar Ditahan Dalam Ops Gerak Gempur Basmi Pelajar Ponteng

Seramai 63 pelajar diberkas dalam operasi Gerak Gempur Basmi Pelajar Ponteng Sekolah peringkat negeri Terengganu yang dilancarkan semalam.

Operasi yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 12 tengah hari itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata kesemua pelajar yang ditahan akan diberikan sesi kaunseling sebagai peringatan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

"Kita telah memberi mandat kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar terlibat sama ada dikenakan tindakan tatatertib ataupun digantung persekolahan bagi menyedarkan pelajar bahawa pentingnya akan pendidikan dalam diri," katanya selepas tamat operasi tersebut di Kuala Terengganu.

Seramai 30 pelajar ponteng sekolah ditahan di sekitar daerah Kemaman, Hulu Terengganu (tujuh pelajar) dan Marang (empat pelajar) dan bakinya, 22 pelajar di Kuala Terengganu.

Daripada jumlah itu ada di kalangan mereka yang ditahan dikesan positif dadah dan terbabit dengan gejala merokok dan kesemua yang ditahan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah dan pihak berkuasa.

Tinjauan Bernama di Kampung Panji Alam, di sini mendapati sebahagian pelajar ponteng sekolah sanggup nekad bertindak terjun ke dalam parit dan melakukan pelbagai ragam bagi meloloskan diri daripada dicekup bagaimanapun tindakan tersebut tidak berhasil.

Ia melibatkan pelajar-pelajar ponteng dari beberapa buah sekolah Menengah di sekitar Kuala Terengganu seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, SMK Bukit Besar dan SMK Panji Alam yang rata-rata ditahan pelajar tingkatan empat dan lima.

No comments:

Post a Comment