Wednesday, May 23, 2012

75 Lagi Peserta Tiba Untuk Program ETA Tahun Depan

Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright, sebuah program untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris di sekolah menengah, dijangka diperluaskan apabila 75 peserta tiba di negara ini, awal tahun depan.

Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Datuk Paul W. Jones berkata pada masa ini, kerajaan Amerika Syarikat terlibat dalam proses pemilihan selepas menerima beratus-ratus permohonan, antaranya daripada siswazah universiti, untuk menyertai program sukarela itu.


"Mereka akan tiba pada Januari (2013) dan kumpulan sedia ada akan pulang November ini pada akhir penggal persekolahan. Justeru, kami menimbangkan untuk menambah jumlah sekolah dan berkemungkinan lokasi seterusnya.

"Kami telah mengadakan ETA di Terengganu, Johor dan Pahang, dan kami akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk melihat sama ada kerajaan ingin memperluaskannya ke negeri lain atau menambah bilangan di negeri sedia ada," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Latihan Pasukan Pengaman Malaysia, di Port Dickson semalam.

Di bawah program itu, siswazah muda dari beberapa universiti di Amerika Syarikat dan mewakili pelbagai bidang utama, ditempatkan di sekolah dalam daerah yang berlainan untuk membantu guru bahasa Inggeris.

Program itu adalah perkongsian komitmen Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk memperluaskan program pertukaran rakyat dengan rakyat, antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

No comments:

Post a Comment