Tuesday, May 22, 2012
Anggota Parlimen Hulu Terengganu Tokoh Guru Terengganu 2012
Mohd Nor Othman, 60, menyifatkan kerjaya sebagai guru selama 32 tahun adalah mencabar dan menganggapnya sebagai ibadah untuk memotivasikan dirinya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan cemerlang.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berazam terus memberi sumbangan terhadap sektor pendidikan selaras dengan hasrat kerajaan negeri Terengganu yang mahu dikenali sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru pendidikan tanah air.
"Walaupun sudah bersara daripada arena perguruan, sebagai Anggota Parlimen saya tetap berjuang terutamanya dalam isu pendidikan. Malah saya masih lagi melibatkan diri dengan kegiatan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) daerah," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Guru Peringkat Terengganu di stadium tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, semalam.
Mohd Nor adalah lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia di bidang pengajian pendidikan sejarah pada 1971 dan mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Kuala Terengganu, pada 1976.
No comments:
Post a Comment