Thursday, May 17, 2012

Bomba - Simpan Pemadam Api Dalam Kenderaan

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggalakkan orang ramai menyimpan pemadam api di dalam kereta berikutan peningkatan kes kebakaran membabitkan kenderaan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Terengganu, Rozizah Ibni Hajar, berkata sehingga Mei tahun ini, pihaknya mencatat 28 kes kebakaran membabitkan kenderaan persendirian.

Beliau berkata, jumlah ini sebenarnya menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu 52 kes yang kebanyakannya berpunca daripada pendawaian litar pintas elektrik.


"Walaupun jumlah setakat ini menunjukkan penurunan, namun kita tetap menyarankan agar pemilik kenderaan persendirian meletakkan alat pemadam di dalam kereta bagi membolehkan mereka membuat langkah pencegahan awal.

"Selain itu, kita juga mengharapkan orang ramai sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik setiap masa sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya semalam.

Rozizah juga berkata, buat masa ini hanya pengangkutan awam seperti bas pesiaran, kenderaan berat seperti kontena dan teksi diwajibkan mempunyai pemadam api.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana kecuaian serta sikap ambil mudah pengguna kenderaan bakal memberi kesan yang besar dan tidak mustahil akan meragut nyawa mereka.

"Walaupun ia dilihat perkara kecil, namun kita melihat perkara ini sangat serius. Jadi kita harapkan langkah pencegahan seperti meletakkan pemadam api dalam kenderaan akan mencegah dan meminimumkan kerugian yang dialami mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozizah mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim kemarau bagi mengelak berlaku kebakaran yang boleh memusnahkan harta benda dan meragut nyawa.

Beliau berkata, keadaan cuaca yang panas terik dan kering mampu meningkatkan risiko api cepat marak serta merebak jika tidak ada pengawasan ketika pembakaran.

Justeru, katanya, orang ramai diminta membuat laporan segera jika terlihat kebakaran hutan atau belukar kerana bimbang ia menjadi lebih besar serta merebak sehingga keadaan sukar dikawal.

No comments:

Post a Comment