Thursday, May 24, 2012

Insentif Khas Kepada Pasukan Sepak Takraw Terengganu, Harun Jusoh


Kerajaan negeri mengagihkan insentif khas sebanyak RM95,000 kepada Pasukan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) sebagai penghargaan menjulang nama negeri pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Khir Johari di Manjong, Perak, 4 hingga 8 April lalu.

Seramai 19 pemain termasuk pegawai menerima insentif itu di mana setiap individu memperoleh RM5,000.

 
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menyatakan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan pasukan itu yang berjaya menjulang nama Terengganu buat kali pertama selepas 49 tahun dipertandingkan.

“Usaha, semangat dan komitmen perlu diteruskan untuk mencipta nama pada kejohanan seterusnya, termasuk Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang Julai ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif di Wisma Darul Iman, petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Presiden PSTNT, Encik Shapian Ali.

Pada majlis sama, bekas pemain bola sepak Piala Presiden T.Team, Mohd Zuhairie Ahmad Tarmizi yang putus semua jari kanan akibat dimamah mesin tebu turut menerima bantuan kecederaan sejumlah RM20,000.

Manakala, bekas pemain bola sepak kebangsaan yang berjaya mangharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Olimpik Musim Panas pada 1972, Encik Harun Jusoh dan bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, Encik Abdul Razak Ismail, menerima pakej umrah 2012 yang masing-masing bernilai RM6,800.

Menteri Besar turut memberitahu, sebelum ini, kerajaan negeri sudah pun mengagihkan insentif RM20,000 kepada empat pemain hoki Terengganu yang berjaya menjuari Kejohanan Hoki Remaja Asia.

“Insentif khas sebanyak RM15,500 turut disumbangkan kepada lima pemain Terengganu yang telah terpilih mewakili negara menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Cappy di Croatia.

“Apa yang membanggakan,pemain Terengganu adalah yang teramai dipilih untuk mewakili pasukan negara, di mana Muhammad Firdaus Ramli diberi kepercayaan sepenuhnya untuk mengetuai pasukan negara itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment