Tuesday, May 8, 2012

Jelajah Malaysia 2012 - Hariff Mahu Beri Aksi Terbaik

Kurang menyerlah pada Jelajah Borneo 2012 minggu lepas tidak bermakna semangat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh terus merudum, sebaliknya dia berjanji akan memberi aksi terbaik di Jelajah Malaysia 2012 yang bermula hari ini.

Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, dia mensasarkan untuk memberi aksi terbaik pada perlumbaan kali ini kerana Jelajah Malaysia dan Jelajah Borneo adalah perlumbaan yang sangat berbeza.


"Jelajah Borneo laluannya berbukit sementara Jelajah Malaysia ia lebih kepada laluan landai, sudah tentu saya mampu melakukan yang terbaik dan dalam masa yang sama mengekalkan jersi hijau (Raja Pecut) yang dimenangi tahun lalu," katanya pada Majlis Pengenalan Pasukan di Kuala Lumpur, semalam.

Harrif dijangka mendapat bantuan daripada abangnya, Zamri manakala pelumba berpengalaman dari Jepun, Shinichi Fukushima juga mampu memberi sokongan sehingga perlumbaan enam peringkat itu berakhir.

"Saya menjangkakan pasukan yang bakal memberi tentangan sengit pada edisi kali ini sudah tentu, Genesys Wealth Adviser (Australia) dan Pure Black Racing Team (New Zealand), manakala rakan senegara, Anuar Manan (pasukan pembangunan Malaysia) juga harus diberi perhatian.

"Saya tidak tahu bagaimana tahap persiapan Anuar, yang baru pulang dari Eropah dan saya juga menjangkakan peringkat pertama esok (hari ini) sukar hendak diramalkan kerana semua pelumba masih lagi dalam keadaan bertenaga," katanya.

Harrif juga menganggap Jelajah Malaysia adalah medan terbaik untuk membuktikan kemampuannya agar terpilih mewakili negara ke saingan Sukan Olimpik 2012 London yang berlangsung Julai depan.

No comments:

Post a Comment